Untuk pengetahuan anda semua, kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua yang paling kerap dialami oleh wanita selepas kanser payudara. Pada tahun 2002, kanser pangkal rahim meliputi 12.9% daripada semua kanser wanita di Malaysia. Boleh dikatakan hampir setiap wanita menghadapi risiko kanser pangkal rahim, tanpa mengira usia atau gaya hidup.
Serviks
Merupakan bahagian pangkal rahim (uterus). Oleh kerana itu ia dikenali sebagai barah pangkal rahim atau kanser serviks. Serviks menghubungkan badan uterus kepada vagina (salur kelahiran). Kanser berlaku apabila sel serviks menjadi tidak normal dan tumbuh secara tidak terkawal dan ia boleh merebak ke bahagian badan yang lain.
HPV & Kanser pangkal rahim
Ialah Virus Papiloma Manusia iaitu, sekumpulan lebih 100 virus yang sangat umum. Sesetengah jenis HPV dikaitkan dengan kanser jenis tertentu. HPV jenis ini dinamakan HPV penyebab kanser "berisiko tinggi". Kebanyakan jangkitan HPV berlaku tanpa sebarang gejala dan akan lenyap tanpa sebarang rawatan dalam tempoh beberapa bulan. Jangkitan HPV "berisiko tinggi" (penyebab kanser) perlu berlaku sebelum pembentukan kanser pangkal rahim. Jangkitan ini adalah tanpa gejala dan sebahagian besar jangkitan akan pulih tanpa memerlukan sebarang rawatan.
Akan tetapi, dalam kes tertentu, jangkitan akan berterusan, menyebabkan ia menular menjadi kanser pangkal rahim. Proses ini boleh mengambil masa lebih sepuluh tahun. Oleh itu, langkah mendapatkan perlindungan daripada HPV "berisiko tinggi" (penyebab kanser) adalah amat penting.
Virus HPV ini akan disebarkan menerusi sentuhan antara kulit kemaluan. Oleh yang demikian HPV boleh menjangkiti semua wanita tanpa mengenal usia atau gaya hidup. Hubungan seks tidak semestinya berlaku untuk mendapat jangkitan. Dianggarkan bahawa kira-kira empat daripada lima wanita yang mengadakan hubungan seks secara aktif akan mengalami jangkitan HPV dalam hayat mereka, walaupun jika mereka hanya ada seorang atau dua orang pasangan seks.
Risiko jangkitan HPV bermula dari hubungan seks pertama dan kekal sepanjang hayat wanita. Dianggarkan pula bahawa sehingga 80% daripada wanita akan mengalami jangkita HPV kemaluan dalam hidup kita tanpa mengira usia atau gaya hidup. kondom mengurangkan ririko tetapi tidak memberikan perlindungan sepenuhnya. Sepanjang hayat, setiap wanita menghadapi ririko daripada virus yang menyebabkan kanser pangkal rahim.
PAP SMEAR
Merupakan satu ujian yang pantas dan mudah untuk mencari sel abnormal di permukaan pangkal rahim. Biasanya sel diambil daripada pangkal rahim dan di hantar ke makmal untuk diuji bagi mengesan sebarang perubahan. Sehingga kini, satu-satunya cara untuk mencegah kanser pangkal rahim ialah menerusi ujian PAP SMEAR dari masa ke semasa untuk mengesan tanda awal penyakit. Selain itu, vaksin untuk pencegahan jangkitan HPV dan kanser pangkal rahim juga boleh didapati sekarang.
ARKIB : 21/11/2006 - Utusan Malaysia
Vaksin yang memberi perlindungan daripada HPV ini dikeluarkan oleh Merck Sharp & Dohme (MSD) Corp.
Sehingga kini, hanya vaksin yang dapat menentang penyakit tersebut mampu memberi kesan lebih efektif dan mengurangkan jumlah kematian, selain daripada kaedah kemoterapi.
Vaksin yang diperkenalkan kepada media oleh MSD di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur, baru-baru ini mampu melindungi seseorang itu daripada jangkitan HPV.
Vaksin berkenaan melindungi wanita daripada jangkitan empat jenis strain HPV yang menjadi punca utama kanser serviks.
Dua daripada strain berkenaan iaitu HPV-16 dan HPV-18 dipercayai bertanggungjawab terhadap 70 peratus kejadian kanser serviks di kalangan wanita.
Sementara itu, dua lagi strain yang dilindungi oleh vaksin ini adalah HPV-6 dan HPV-11, yang menyebabkan 90 peratus penyakit ketuat alat kelamin.
Menurut Pengarah Penyelidikan Klinikal Biologi MSD, Dr. Carlos Sattler, secara umumnya, vaksin ini memberi perlindungan kepada penyakit yang disebabkan oleh HPV termasuk ia melindungi daripada sejenis lagi penyakit yang ditularkan oleh hubungan kelamin (STD), iaitu ketuat alat kelamin dan lagi bonus, kanser faraj dan vulva (genitalia luar perempuan).
“Vaksin ini telah diiktiraf dan diguna pakai hampir 50 negara di seluruh dunia.
“Vaksin ini boleh diberikan kepada wanita yang berumur 9 hingga 26 tahun dan berumur 9 hingga 15 tahun untuk lelaki,’’ katanya.
Tambah Dr. Carlos, vaksin ini dirumus khas dan mengandungi Virus-Like Particles (VLPs) untuk meningkatkan sistem imunisasi badan bagi menghasilkan antibodi spesifik bagi melawan HPV jenis 6,11,16 dan 18.
“Vaksin ini akan menyerang sel-sel kanser dan akan melambatkan atau menghentikan penyebarannya.
“Namun, sebagai peringatan, vaksin ini bukan dirancang untuk merawat kanser serviks yang aktif, prakanser (CIN,VIN atau VaIN).
“Ia tidak melindungi daripada kesemua penyebab kanser serviks kerana terdapat kira-kira 100 strain HPV di luar sana dan vaksin ini melindungi wanita daripada virus yang paling kuat,’’ ujarnya.