Showing posts with label Projek Komuniti Kita. Show all posts
Showing posts with label Projek Komuniti Kita. Show all posts

Saturday, January 10, 2026

Aktiviti memasak Ayam Masak Merah bulan puasa


23 March 2025, 

Aktiviti memasak untuk Rumah Al-Hadid masa bulan Ramadhan 2025 tahun lepas.
Menu ialah Ayam Masak Merah.



Tak tahu mungkin salah cili kering ayam masak merah ni pedas nak mati hahaha. Staf supermarket kata cili yang dorang beli tak pedas. Macam-macam cara kita dah guna untuk kurangkan sambal masak merah cili ni. Itu pun tetap pedas menyengat sampai aku pun tak tahan.



Ye ke cili kering ini tak pedas?

Dah la kita nak hantar ke Rumah Anak-anak OKU, Al-Hadid kan. Aduhh. Rasa bersalah sangat waktu tu. Tapi dah petang. Nak tukar menu pun tak boleh. Nak beli pun takkan sempat, jadi kita cuma letak sambal cili itu sedikit sahaja.

Boleh nampak betapa merah cilinya huhu


Selepas kita hantar tu kita follow up juga tanya, boleh ke anak-anak Rumah Al-Hadid makan. Tuan rumah kata boleh. Tak ada pun mereka nak mengadu lebih-lebih. Sebab itu, bila isu berkaitan dengan Al-Hadid tular beberapa bulan lepas aku tak percaya. 

Sebab kita dah beberapa kali berurusan dengan mereka. Jadi, bila ada beberapa perkara yang tersebar kita rasa pelik. Satu perkara yang kita kena sematkan di dalam hati ini ialah jangan mudah kecil hati ke, sentap dan terasa bagai. Tak perlu rasa "entitled". Perlu dihargai. Nak dihargai, nama mahu dijulang baik tolong orang kaya je atau tak payah buat kerja kebajikan.

Masak rendang daging untuk Hari Raya Aidilfitri 2025


Entahlah, bila nak delete gambar, susun semula album barulah terhegeh-hegeh upload masuk dalam blog. 

Dah mana lagi aku nak simpan? 😅

Nak juga selitkan cerita aku masak rendang daging satu kawah besar yang aku pun tak ingat berapa kilogram. Sebenarnya, aku masak dengan Ili. Yang tukang potong bawang dan bahan² lain tu semua geng² ofis. 

Yang paling awesomenya ialah rendang daging aku menjadi sangat. Tak ada hangit tau. 

Biasa kalau masak banyak mesti akan ada kekurangan sana sini. Tapi Alhamdulillah, rendang daging masak dengan elok.

Antara kenangan manis untuk bulan puasa 2025. Berjaya memasak rendang sekawab besar dengan perfect hehehe. Lambat sangat tunggu orang puji. 

Ini semua adalah usaha gigih kami bulan puasa untuk Projek Komuniti Kita. 😘

Tuesday, February 4, 2025

Kisah Puan Zuraini, ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak


Ada seorang ibu tunggal. Mempunyai empat orang anak. Tiga dari empat anaknya tercicir dalam pelajaran. Ibu tunggal ini juga ada masalah kesihatan.

Apa yang terjadi sebelum ini, anak kedua dan ketiga terpaksa berhenti sekolah kerana terpaksa menjaga ibu yang sakit berbulan-bulan. Anak yang keempat berumur 7 tahun, sepatutnya masuk Darjah Satu tahun ini, tapi disebabkan tidak mendaftar awal atas sebab isu ibu yang sakit jadi tercicir juga.

Mereka juga tidak dapat apa² bantuan dari mana² agensi kerajaan.

Perkara pertama kita buat ialah kita hubungkan mereka dengan pusat zakat supaya dapat bantuan yang selayaknya. 

Alhamdulillah, harini ketiga-tiga anak ibu tunggal ini sudah berjaya didaftarkan ke sekolah. Anak yang keempat akan mula bersekolah Darjah Satu untuk sesi persekolahan 2025 yang bakal bermula. Anak kedua yang tercicir dalam sekolah sebelum ini telah didaftarkan masuk ke SKM untuk kursus Sijil Kulinari. Begitu juga anak ketiga puan ini telah didaftarkan untuk Sijil Elektrikal.

Segala keperluan dan perbelanjaan penyediaan untuk masuk ke sekolah akan ditanggung oleh Projek Komuniti Kita yang mana ia merupakan hasil dari kedai online kita.

Dan Alhamdulillah respons dari Pusat Zakat Selangor ialah apabila mereka mula bersekolah pihak zakat akan bantu anak² ini dengan memberi mereka bantuan persekolahan.

Sedikit kisah Razif, pembantu untuk buat kuih raya tahun ini


Beberapa hari lepas saya dapat seorang pembantu OKU yang bernama Razif. 

Razif tolong packing biskut masuk bekas. Razif ni dulu kemalangan kemudian koma selama dua bulan. Selepas ayahnya meninggal dunia, Razif dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa.

Dalam keadaan Razif yang tidak begitu baik, susah mahu berjalan, Razif memang tidak boleh buat kerja berat dan kerja yang memerlukan Razif berdiri untuk agak lama. Kalau packing biskut, buat dalam keadaan duduk pun boleh.

Semasa jumpa Razif di pusat transit kali pertama sangat mengejutkan sebab seolah² macam tak ada harapan untuk hidup. Razif "depression".

Badan kurus kering kerana hanya hidup makan maggi sahaja. Bila Razif bekerja semalam dah berbincang kita keluarkan Razif dari Pusat Transit. Tidak boleh lama² berada di Pusat Transit sebab berada di Pusat Transit terlalu lama sangat berisiko (ada sebab nya). Tetapi, Razif menolak. Razif kata, "Kalau saya tinggal di Pusat Transit, sekurang²nya saya ada makanan. Kalau saya berpindah ke rumah yang disediakan macam macam mana saya nak makan, saya tak ada duit. Kalau saya kerja di ofis boleh lah saya makan biskut² kat ofis tu..." 

Sahabat saya (YB Viral) Aidil Bin Md Yunus kata jangan risau tentang makanan. Yang tu kita fikir kemudian. Sekarang ni kena kena keluarkan Razif dari Pusat Transit dahulu. Bila dah kena "bebel" jadi nya, Razif pun akur. 

Dan beberapa malam yang lepas juga Razif "checkout" dari Pusat Transit dan dibawa ke rumah yang telah disediakan. 

Untuk Razif, kita akan usaha sehabis baik supaya Razif dapat bantuan selayaknya seperti bantuan dari Baitulmal atau Pusat Zakat dan buat sementara waktu Razif akan bekerja bersama kami.

Saya mengucapkan terima kasih diatas segala sokongan sumbangan anda semua kepada kami melalui Kedai Why be Viral dot com. Ini kerana sebahagian dari pembelian anda lah yang membuatkan kami berjaya menjayakan misi kami untuk membantu mereka yang memerlukan.

Hanya Allah sahaja yang mampu membalas kembali pertolongan dan sokongan kalian. 😌

Sunday, January 26, 2025

Projek Ramadhan 2025


Gambar semasa Potluck Kasih Sayang
Pada 01 Januari 2025

Selama aku dah terlibat dengan kawan² untuk buat kerja amal dan menyantuni anak² yatim tak pernah aku buat projek amal pada bulan Ramadhan. 

Tahun ini kali pertama kita akan buat Projek Ramadhan (Projek Komuniti Kita) dengan menaja sahur untuk golongan asnaf, jalanan, pusat transit dan rentan selama sebulan. 

Jangan memandang rendah. Ramai yang asnaf atau jalanan ini berpuasa. Ramai yang mengadu untuk sahur mereka makan makanan yang dah basi. Jangan skeptikal. Kita yang memandang rendah ni belum tentu masuk syurga.

Kita faham kenapa makanan tu basi. Jangan salahkan yang memberi. Ramai yang masak untuk bulan puasa seawal 12 tengahari. Ada yang memberi makanan Percuma untuk berbuka.

Potluck Kasih Sayang
01 Januari 2025

Perlu kita ketahui, asnaf dan jalanan ni mana ada kemudahan seperti peti ais atau microwave. Tinggal cuma di bilik sewa kecik dengan bayaran harian. Jadi, untuk sahur memang sah makanan tu basi. Kecuali kuih muih seperti donut, cekodok dan yang seangkatan dengannya.

Jadi, sebab itu kita buka 1000 SET KOMBO TEH MORINGA + SAFFRON untuk kita menampung perbelanjaan pada bulan puasa nanti. 
Kita dah mula buka Set Kombo beberapa hari yang lepas dan Alhamdulillah terima kasih atas sambutan. Kita masih ada berbaki 30 Hari lagi sebelum Ramadhan 2025. Terima kasih atas sokongan semua. Doakan semoga Projek Ramadhan pertama kami ini berjaya. ❤

Friday, January 17, 2025

Kisah Abang Razali Muslim, OKU bergelandangan

Gambar dari Facebook Projek Komuniti Kita


Ini cerita Abang Razali Muslim, si OKU yang bergelandangan. Kali pertama Abang Razali Muslim hubungi kami ialah pada 17 Disember 2024. Ketika itu beliau baru sahaja selesai melakukan proses amputasi kaki.

Abang Razali maklumkan kami dia sudah kehilangan tempat tinggal sejak hujung November lalu dan baru kematian ibunya. Abang Razali tidak tahu ke mana dia nak tuju. Hospital kata sudah boleh discaj. Tetapi dia tidak ada tempat tinggal. Jadi perlu tunggu JKM untuk sediakan tempat untuk dia berlindung sebab dia tidak boleh urus diri dia.

Gambar dari Facebook Projek Komuniti Kita

Dia juga ada beberapa perkara yang perlu diuruskan dan di dalam fikirannya hanya kami yang boleh dipercayai untuk membantu. Dan kami sudah membantu menyelesaikan urusan-urusan Abang Razali. 

Setelah begitu lama menunggu, akhirnya hospital memutuskan Abang Razali kena discaj. JKM pula memberitahu kakitangan hospital yang tidak ada tempat untuk Abang Razali. Abang Razali panik. Kami pun panik. Ialah takkan lah kami nak biarkan Abang Razali duduk tepi jalan. Sorrylah JKM, apa yang kami dengar dari staff hospital, buatkan kami sangat kecewa. Nasib baiklah ada pegawai Zakat Selangor yang bagus budi bicaranya.

Gambar dari Facebook Projek Komuniti Kita

Kami di Projek Komuniti Kita carikan rumah, hantar Abang Razali ke rumah itu dan Zakat bayarkan kos. Kami bukan sahaja berjanji untuk membantu Abang Razali sampai dia betul-betul sihat, malah kami juga berjanji akan membantu rumah perlindungan itu juga.

Gambar dari Facebook Projek Komuniti Kita

Gambar dari Facebook Projek Komuniti Kita

Boleh nampak perubahan ketara Abang Razali sebelum ini semasa di hospital dan selepas berada di rumah perlindungan. Lebih bersemangat dan ceria nampaknya. 

Mari kita sama-sama doakan kesembuhan dan kesihatan Abang Razali ya.

Kisah Syukri dari Kg Batu Muda Tambahan

Kredit gambar: Facebook Projek Komuniti Kita


Ini lah dia Syukri dari Kg Batu Muda Tambahan, KL. Kita diperkenalkan oleh salah seorang sahabat Demi Negara. Kali pertama jumpa dia hanya boleh terbaring lesu di katil. Dia asalnya seorang anggota tentera namun satu tragedi yang berlaku telah mengubah kehidupannya.

Syukri mula terlantar akibat dari kemalangan jalanraya yang menimpanya setahun sebelum itu di Klang. Pada masa itu, doktor sahkan dia hanya ada peluang 30 peratus untuk hidup. 

Kredit gambar: Facebook Projek Komuniti Kita

Selepas menjalani rawatan, ada banyak komplikasi menimpanya antaranya tak boleh berjalan. Kalau bergerak pun kena gunakan tongkat. Sebab itulah dia hanya terlantar di katil rumahnya. Dia maklumkan Projek Komuniti Kita yang kalau lah dia dapat beli sebuah kaki prostetik untuk membolehkan dia berdiri dan berjalan dengan stabil sebab banyak temujanji dengan doktor dan fisioterapi untuk dia hadiri. Setakat mana sangatlah tenaga isterinya nak papah dia setiap kali kan, jadi kaki ini akan amat membantu. 

Lepastu kami dapat tahu juga yang dia dah beberapa bulan terputus bekalan ubat. Memang betul boleh dapatkan ubat dari hospital kerajaan, tapi ubat-ubat untuk masalah kritikal macam ubat cair darah ni kena beli sendiri. Terkejut kami bila dapat tahu yang dia tak makan ubat cair darah sebab tak mampu nak beli.

Kredit gambar: Facebook Projek Komuniti Kita

Kami betul-betul risau akan komplikasi tanpa ubat cari darah ni jadi kami bantu dapatkan ubat cair darah ni. Cukuplah untuk tahan sebulan. Kami juga buat keputusan untuk buat 'crowd funding' dalam mendapatkan kaki prostetik untuk Syukri supaya dapatlah dia ke hospital untuk dapatkan rawatan kan. 

Tak berapa lama kemudian, dapat kumpulkan jumlah yang diperlukan. Dapatlah Syukri sarung kaki prostetiknya. Maka ini lah keadaan Syukri bila kami singgah kali kedua bertemunya. Dah boleh berdiri dengan bantuan kaki prostetik dan duduk berbincang di kerusi. Alhamdulillah, kami tumpang gembira dengan perkembangan kesihatan Syukri. 

Kredit gambar: Facebook Projek Komuniti Kita

Untuk pengetahuan semua, kami menanggung semua kos perjalanan Syukri ke Hospital Klang setiap kali dia ada temujanji doktor dan sesi fisio. Kami juga masih bantu dapatkan ubat cair darah yang perlu dibeli sendiri kerana hospital tak bekalkan. 

Sebenarnya masih panjang perjalanan Syukri untuk betul-betul pulih namun kami doakan dengan rawatan yang Syukri sedang dapatkan ni dapat bantu dia untuk kembali sihat seperti sediakala. InshaAllah kami akan terus membantu Syukri dalam mendapatkan rawatan sedaya upaya yang kami mampu.