Showing posts with label Jenis Penyakit Dewasa dan Kanak-Kanak. Show all posts
Showing posts with label Jenis Penyakit Dewasa dan Kanak-Kanak. Show all posts

Thursday, November 22, 2012

1. Serangan Penyakit Jantung

Jantung adalah satu organ penting yang mula berfungsi sejak janin sehinggalah sesaorang itu meninggal dunia. Ia mengepam darah untuk membekalkan oksigen dan nutrien keseluruh badan melalui sistem peredaran darah. Jantung yang sihat mampu mengepam sebanyak sepuluh ribu liter darah sehari dan ia akan berdenyut kira-kira seratus ribu kali sehari, iaitu diantara 60 hingga 80 kali seminit.

Sesaorang itu boleh menghidap dua jenis penyakit jantung, Iaitu penyakit jantung kongenital dan bukan kongenital. Sakit jantung kongenital berlaku ketika dalam kandungan seperti jantung berlubang dan kecacatan injab jantung manakala sakit jantung bukan kongenital berlaku akibat jangkitan atau cara hidup tidak sihat seperti penyakit jantung koronari.


Serangan sakit jantung yang juga digelar sebagai infark miokard, biasnya adalah memudaratkan dan boleh mengaut nyawa mangsa. Mujurlah dengan adanya kesedaran yang lebih baik, lebih ramai pesakit boleh mengesan serangan sakit jantung pada peringkat awal daripada tanda-tanda atau gejala sakit jantung dan mendapatkan rawatan sewajarnya. Cara hidup anda secara keseluruhannya, iaitu apa yang anda makan, kekerapan anda bersenam dan tahap tekanan emosi anda memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pemulihan daripada serangan sakit jantung. Gaya hidup yang sihat boleh membantu anda mencegah serangan sakit jantung dengan mengawal faktor-faktor risiko yang menyumbang terhadap penyempitan kapilari darah koroner yang membekalkan darah ke jantung anda

Serangan sakit jantung terjadi apabila satu atau lebih daripada arteri koronari yang membekalkan darah yang kaya oksigen kepada jantung anda tersumbat. Melalui satu tempoh masa tertentu, arteri koronari boleh menjadi semakin sempit ekoran daripada pengumpulan kolesterol. Pembentukan kolesterol ini yang dikenali sebagai plak dalam arteri di seluruh tubuh disebut aterosklerosis. Serangan sakit jantung berlaku apabila salah satu plak pecah dan satu ketul plak akan dilepaskan ke dalam aliran darah.

Jika plak tersebut cukup besar, ia boleh menyekat aliran darah melalui arteri. Apabila arteri koronari anda telah menjadi semakin sempit ekoran daripada aterosklerosis, keadaan ini dikenali sebagai penyakit arteri koronari. Penyakit arteri koronari adalah punca utama serangan sakit jantung. Terdapat satu punca serangan sakit jantung yang jarang berlaku adalah kekejangan arteri koronari yang menutup aliran darah ke sebahagian daripada otot jantung. Dadah perangsang seperti kokain boleh menyebabkan kekejangan arteri yang mengancam nyawa.

Serangan sakit jantung adalah satu proses yang biasanya terbentuk dalam masa beberapa jam. Dengan setiap minit yang berlalu, rangkaian jantung menjadi semakin kekurangan darah dan terencat atau mati. Jadi, jika aliran darah dapat dipulihkan dalam tempoh yang cukup, kerosakan atau kematian jantung dapat dielakkan.

Ia juga digambarkan sebagai rasa kesakitan yang amat sangat di bahagian dada yang berterusan sehingga setengah jam, menjalar kearah tangan kiri dan rahang. Pesakit akan mengalami keseukaran untuk bernafas dan perasaan takut yang keterlaluan

Faktor-Faktor Yang Meningkatkan Kemungkinan Menghadapi Penyakit Jantung Koronari 

Jika anda mempunyai keturunan yang mengidap penyakit jantung.
Jika anda berusia 35 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan.
Jika anda merokok.
Jika anda gagal mengawal tekanan darah anda.
Jika anda mengidap penyakit kencing manis.
Jika anda menghadapi masalah mengawal tekanan.
Jika pemilihan makanan anda tidak betul makanan anda mengandungi kadar kolesterol dan lemak yang tinggi.
Jika anda kurang bersenam.
Jika anda kurang memakan sayur dan buah segar.

Faktor Penyebab:-

Asap Rokok
Mempercepatkan pembekuan darah Menggalakkan pemendapan lemak pada dinding saluran darah. Mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.

Tekanan Perasaan
Seseorang yang mengalami tekanan perasaan, degup jantungnya, meningkat. Tekanan darahnya juga meningkat.

Kandungan Lemak Yang Tinggi
Lebih tinggi kandungan lemak, lebih berbahaya. Makanan yang tinggi lemak, adalah seperti mentega, minyak sapi, daging berlemak.

Kurang bersenam
Senaman penting untuk menguatkan jantung. Ia juga penting untuk memperbaiki pengaliran darah ke jantung. Bersenamlah.

Darah Tinggi 
Darah tinggi menggalakkan berlakunya penyempitan saluran darah. Jantung "terpaksa" mengepam lebih kuat untuk mengalirkan darah melalui saluran yang sempit itu. Lebih tinggi tekanan darah, lebih besar pula peluang serangan sakit jantung.

Kencing Manis 
Pesakit kencing manis lebih tinggi peluangnya mendapat serangan sakit jantung

Tanda Serangan Jantung:- 

- Sesak nafas.
- Sakit dada yang menekan, bermula dibahagian tengah atau kiri dada dan lazimnya merebak ketengah atau kiri dada dan selalunya merebak kelengan kiri dan leher.
- Sakit mencengkam sehingga boleh menyebabkan pitam atau pengsan.
- Berpeluh dingin.
- Berasa sejuk walaupun suhu persekitaran panas.
- Pening kepala dan loya.

Cara mencegah serangan jantung:-

- Bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu iaitu, 20 hingga 30 minit setiap kali senaman.
- Kekalkan berat badan unggul.
- Makan secara sihat.
- Berhenti merokok.
- Belajar menangani tekanan perasaan.
- Periksa tekanan darah.
- Periksa glukosa darah.
- Awasi paras kolesterol.
- Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala



Sumber: Kementerian Kesihatan & Utusan Malaysia, www.familiazam.com, www.sitik.wordpress.com

Thursday, November 15, 2012

Penyakit Chikungunya

Selalu je dengar tentang penyakit ni kan. Nak sebut pun terbelit-belit lidah punya susah. Chikungunya ni merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Chikungunya yang berjangkit melalui nyamuk Aedes. Nyamuk Aedes ni jugaklah menyebarkan virus penyakit demam denggi.

Di negara kita Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Kebanyakan pesakit mengalami gejala yang tidak berlarutan dan sembuh sepenuhnya. tetapi sebahagian pesakit terutama yang berumur boleh mengalami gejala sakit sendi yang berpanjangan lebih lama dari biasa dan kebiasaanya pesakit yang dijangkiti akan mendapat imuniti sepanjang hayat.


Masa pengeraman
Boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara 3 hingga 7 hari.

Tanda dan Gejala
Gejala Utama
- demam panas yang mendadak (suhu 38 darjah celcius atau lebih)
- sakit sendi terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan, buku lali dan rasa ngilu pada tulang
- ruam pada tangan, kaki dan badan

Gejala lain
- sakit kepala
- mata merah
- loya dan muntah

Seorang pesakit boleh demam dari 1 hingga 7 hari (biasanya 5 hari) dan boleh disalah anggap sebagai penyakit demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

Rawatan
Seperti penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar dan tiada vaksin untuk penyakit ini.

Cara pencegahan Penyakit Chikungunya
- bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasanm-kawasan yang telah melakukan gotong royong.

- Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.

- Pastikan semua bekas terpakai yang boleh menakung air dibuang dengan betul.

- Tutp semua bekas menyimpan air, atau masukkan bahan membunuh jentik-jentik seperti temephos dan Bacillus thuringieusis israelensis (Bti)

- Tukar air dan bersihkan bekas bunga setiap minggu.

- Cuci dan sental hingga bersih piring pasu bunga untuk menghapuskan telur nyamuk Aedes setiap minggu.

- Periksa palong hujan (roof gutter) dan pastikan air tidak bertakung.

- Elakkan gigitan nyamuk dengan cara; memakai pakaian menutup anggota, pasang jejaring pada tingkap rumah, menggunakan 'repellant' (lingkaran ubat nyamuk, semburan aerosol, losyen/krim).


Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM

Sunday, November 6, 2011

Influenza

Influenza atau flu adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh virus influenza.

Terdapat 3 jenis virus influenza iaitu A, B dan C. Ketiga-tiga ini boleh menjangkiti manusia. Virus influenza A yang paling berbahaya kerana boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Virus Influenza A menjalani mutasi (perubahan genetik) menghasilkan virus influenza jenis baru yang lebih berbahaya dan boleh mencetuskan wabak epidemik dan pandemik influenza.

Virus Influenza tersebar melalui titisan cecair dari mulut dan hidung ketika bercakap, bersin dan batuk. Virus ini seterusnya masuk ke dalam badan melalui saluran pernafasan.

Influenza tidak sama dengan selesema. Kedua-duanya mempunyai simptom yang hampir sama akan tetapi influenza menyebabkan gejala dan tanda-tanda yang lebih teruk serta boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.

Demam Selesema (Common Cold):-
Pada kebiasaannya demam adalah rendah dan kurang dari 38°C mengalami keletihan yang sangat sederhana, sakit sendi @ otot yang sederhana, tiada batuk yang teruk, hidung berair yang agak teruk tidak terlalu kerap bersin. Selain dari itu, sakit tekak dan sakit kepala agak sederhana. Demam selesema (common cold) ini disebabkan oleh Adenovirus, Rhinovirus, Parainfluenza virus dan lain-lain.

Influenza (Flu):-
Demam yang tinggi melebihi 38°C. Badan pula akan mengalami letih lesu yang teruk dan boleh berkekalan hingga 2 ke 3 minggu, sakit otot yang teruk, batuk yang teruk dan tidak berkahak pada peringkat awal. Hidung pula tidak berair atau sederhana berair tetapi bersin dengan kerap. Mengalami sakit tekak dan sakit kepala yang teruk. Infuenza ini disebabkan oleh Virus Influenza A, B dan C.


Rawatan yang diberikan untuk influenza adalah rawatan simptomatik:-
- Minum minuman dan sup suam bagi melegakan batuk dan sakit tekak.
- Amalkan pemakanan yang seimbang dan tidur atau rehat yang mencukupi.
- Hindarkan diri dari tekanan kerana tekanan akan melemahkan sistem pertahanan badan.
- Dapatkan rawatan di klinik atau hospital jika perlu.

Jangkitan influenza boleh dielakkan dari merebak dengan:-
- Menutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan ketika bersin atau batuk
- Cuci tangan dengan sabun selepas batuk, bersin atau, menyentuh permukaan yang tercemar.
- Buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah
- Pakai penutup mulut dan hidung (mask) ketika dijangkiti influenza.
- Elakkan dari berada di tempat-tempat awam jika dijangkiti demam selesema atau influenza.

Perbezaan antara antiviral dan vaksin influenza
Antiviral adalah ubat bagi merawat pesakit yang dijangkiti virus. Pemberian ubat antiviral pada masa yang betul akan dapat mengurangkan impak gejala dan keterukan tanda penyakit serta mengurangkan kemungkinana komplikasi penyakit.

Vaksin diberi sebagai langkah pencegahan. Vaksinasi menggunakan vaksin influenza yang ada di pasaran hanya untuk memberi perlindungan kepada individu dari mendapat jangkitan virus influenza manusia (human influenza).

Kementerian Kesihatan menyarankan agar mereka yang akan melawat negara beriklim sederhana yang sedang mengalami musim sejuk dan mereka yang akan mengerjakan Haji di Mekah agar mendapatkan suntikan vaksin influenza. Walaubagaimanapun suntikan hanya boleh diperolehi dari klinik atau hodpital swasta tertentu yang mengenakan bayaran,

Situasi semasa Influenza di Malaysia
Menurut kajian, jangkitan influenza berlaku di Malaysia sepanjang tahun. Namun bilangan kes meningkat semasa musim hujan iaitu dari bulan April hingga Jun dan November hingga Januari. Di negara-negara beriklim sederhana, jangkitan influenza meningkat semasa musim sejuk.

Avian Influenza (Selesema burung)
Sejenis penyakit berjangkit yang biasanya berlaku di kalangan ayam, itik dan burung (unggas). Ia juga boleh menjangkiti manusia.

Epidemik Influenza
Ialah kejadian wabak influenza yang menyerang sekumpulan penduduk di sesuatu lokasi atau negara.

Pandemik Influenza
Kejadian wabak influenza yang menyerang sebahagian besar dari penduduk dunia. ia berlaku akibat dari kemunculan virus influenza yang mana penduduk dunia tidak mempunyai daya ketahanan badan bagi melawan virus tersebut.


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Wednesday, November 2, 2011

Congenital Hypothyoidism ~ Penyakit Semulajadi Tiroid

Penyakit semulajadi tiroid adalah penyakit yang jarang berlaku. Kanak-kanak yang mempunyai penyakit ini dilahirkan dengan kekurangan hormon tiroid. Kajian yang dijalankan di MHKL pada 1995, menunjukkan insiden bayi yang dilahirkan dengan "Congenital Hypothyroidism" dianggarkan 1:3666 jumlah kelahiran hidup.

Kalenjar tiroid terletak di bahagian leher dan ia menghasilkan hormon tiroxin(thyroxine). Hormon tiroxin diperlukan untuk perkembangan otak dan pembesaran kanak-kanak.

3 kemungkinan yang boleh mengakibatkan penyakit "Congenital Hypothyroidism"
- Kalenjar Tiroid yang tidak wujud
- Kalenjar Tiroid yang wujud sebahagian sahaja
- Kalenjar Tiroid yang tidak berfungsi

Keadaan ini menyebabkan kekurangan penghasilan hormon tiroxin. Akibatnya otak kanak-kanak tidak boleh berkembang dengan sepenuhnya dan boleh menyebabkan kanak-kanan terencat akal.

Masalah ini tidak boleh dikenalpasti dengan cara pemeriksaan fizikal pada masa kelahiran. Biasanya tanda-tanda "hypothyroidism" hanya boleh dikenalpasti pada masa umur bayi 2-6 bulan. Jika rawatan tidak diberi pada usia ini, kerosakan otak mungkin telah terjadi.

Apakah rawatan yang perlu diberi?
Sekiranya kanak-kanak dikenalpasti ada penyakit tiroid, adalah mustahak ubat diberi dengan secepat mungkin. Kanak-kanak tersebut perlu mengambil hormon tiroxin. Hormon gantian ini perlu diambil seumur hidup.

Jika bayi menerima hormon gantian lebih awal, kelembapan pembesaran dan masalah terencat akal bagi kanak-kanak yang mengalami masalah "congenital hypothyroidism" boleh dielakkan. Semua kanak-kanak yang mengalami masalah "congenital hypothyroidism" perlu diperiksa dan diikuti perkembangan oleh doktor.

Tanda-tanda Hypothyroidism
1. Raut muka yang kasar (coarse facies)
2. Suara tangisan yang kasar (hoarse cry)
3. Sembelit
4. Perut yang buncit
5. Neonatal jaundice yang berpanjangan
6. Umbilical hernia
7. Lambat bertindak balas (slow responses)
8. Kulit kering dan kasar
9. Pembesaran terbantut
10. Terencat akal

Tanda-tanda di atas mungkin tidak terdapat semasa bayi baru dilahirkan.

Sumber: Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur

Thursday, October 13, 2011

Apa itu Jaundis?

Suatu keadaan yang terdapat pada bayi yang baru lahir di mana, mata bewarna kuning. Keadaan ini disebabkan "Bilirubin" yang berlebihan dalam darah.

Ada beza tak?

"Bilirubin" ialah sejenis kimia semulajadi di dalam darah yang ditapis oleh hati dan dibuang melalui air kencing dan najis. Bilirubin yang berlebihan dalam darah akan menyebabkan otak/sistem saraf rosak dan jika ia di tahap yang sangat tinggi, ia boleh mengakibatkan kematian.

Phototherapy untuk Jaundis

Tanda-tanda Jaundis merbahaya:-
- Kuning bermula dalam masa 24 jam kelahiran.
- Bayi enggan menyusu atau sentiasa menangis.
- Kurang aktif dan tidak bermaya.
- Kuning berpanjangan melebihi 2 minggu.
- Bayi demam/sawan dan badan kejang.
- Najis bayi bewarna tanah liat.

Kesan Jaundis
Jaundis yang tinggi boleh menyebabkan:-
- Bahagian otak bayi rosak menyebabkan kecacatan akal dan serebral palsi jenis athetoid.
- Kurang pendengaran atau pekak.
- Terencat akal
- Menimbulkan masalah persekolahan apabila besar nanti.

Tindakan Ibu Bapa
Ibu bapa perlu bertindak dengan segera sekiranya bayi mendapat jaundis dengan menghantar anak ke hospital dan teruskan dengan penyusuan lebih kerap.

kesian, jangan risau baby ni tak rasa sejuk pun
Elakkan:-
- Memberikan ubat tradisional secara minum atau mandi.
- Penjemuran di bawah matahari adalah tidak berkesan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, bolehlah menghubungi klinik atau hospital yang terdekat. Apa yang tertulis di sini adalah sebagai panduan ringkas untuk anda.

"Sumber: Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur"

Wednesday, October 12, 2011

Kekurangan G6PD

G6PD (glucose 6 phosphate dhydrogenese) adalah sejenis enzim dalam sel darah merah yang mana ia berfungsi melindungi sel darah merah daripada dimusnahkan dengan lebih awal. Semasa bersalin, sampel dari tali pusat bayi di hantar untuk pemeriksaan G6PD di makmal.


Sekiranya bayi didapati kekurangan G6PD:-

1. Anda akan duhubungi melalui telefon atau surat supaya membawa anak masuk ke wad untuk pemerhatian.
2. Anak dikehendaki tinggal di wad sekurang-kurangnya sehingga berumur 10 hari.

Pemerhatian ini perlu kerana bayi boleh mendapat kuning (jaundice) dengan serta merta yang boleh menyebabkan kecacatan otak dan pendengaran.

Bayi akan dibenarkan pulang ke rumah setelah dipastikan tiada sebarang masalah lain.


Apabila anda mendapati anak anda kekurangan G6PD, elakkan anak anda dari bahan-bahan yang boleh menyebabkan kemusnahan darah merah:-

- kacang parang
- memberi ubat sendiri tanpa arahan doktor
- ubat gegat
- ubat tradisional, jamu atau ubat senseh

Sila bawa senarai ubat dan tunjukkan kepada doktor apabila anak anda sakit. Beritahu doktor bahawa anak anda kekurangan G6PD.

Sekiranya anak anda termakan makanan atau ubat-ubat seperti yang di atas:-

- Boleh menyebabkan sel darah merah musnah dengan cepat
- Bayi akan mendapat kuning (jaundice) serta merta
- Air kencing berdarah atau bewarna teh pekat
- Pucat
- Demam

Seseorang yang kekurangan G6PD boleh hidup secara normal dengan mengelakkan makanan dan ubat-ubat tertentu.

Kekurangan G6PD ini adalah sepanjang hayat. Ia bukannya penyakit berjangkit.

G6PD diwarisi melalui faktor genetik dan sering melibatkan kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak perempuan adalah sebagai pembawa.

Untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi anda perlu berjumpa dan meminta nasihat doktor. Apa yang saya tulis di sini cuma sebagai panduan ringkas untuk anda. Anda boleh mendapat maklumat lanjut tentang G6PD di buku-buku atau di laman web yang lain. Paling penting ialah nasihat doktor.

Sindrom Down

Selalu kita dengar pasal Sindrom Down ni. Bila kita melihat kanak-kanak SD ni apa yang kita akan fikir. Mesti di kepala korang bermacam-macam persoalannya. Soalnya:-

Apakah Sindrom Down?
Ia merupakan satu keadaan di mana seorang kanak-kanak mempunyai satu kromosom yang lebih dalam setiap selnya. Setiap manusia mempunyai 46 kromosom tetapi kanak-kanak yang ada Sindrom Down ini mempunyai 47 kromosom. Kromosom ini terletak pada kromosom nombor 21.


Bahan kromosom yang berlebihan ini boleh menyebabkan genetik yang tidak seimbang dan merencatkan pertumbuhan dan perkembangan yang biasa. Purata Sindrom Down antara lelaki dan perempuan adalah sama. Ia boleh menghasilkan kecacatan dan ini boleh berlaku kepada semua kaum, bangsa, keturunan dan tidak mengira latar belakang sosial ekonomi seseorang. Sindrom ini adalah bersempena dengan nama doktor yang menemui penyakit ini pada tahun 1866 iaitu Dr. John Langdon Down.

Nisbah kejadian Sindrom Down ini adalah antara 1:660 bayi baru lahir.

Bagaimana Sindrom Down boleh dikesani?
Doktor boleh mengesan bayi Sindrom Down selepas kelahiran iaitu melalui perbezaan muka: (raut muka yang leper, mata yang mengondong dan titian hidung yang rata), leher, tangan dan kaki yang kecil, otot yang lemah, garis tapak tangan yang melintang, telinga yang terletak sedikit ke bawah dan kepala yang kecil dari biasa.

Diognosa Sindrom Down.
Dengan satu penilaian perubatan terperinci termasuk pemeriksaan fizikal dan ujian darah untuk mengesan kromosom luar biasa.

Kecacatan mental jugal selalu terjadi dan ia adalah di antara sederhana ke teruk. Tetapi kanak-kanak ini boleh diajar dan dididik untuk menjalani atau menghadapi kehidupan yang hampir sama dengan kanak-kanak normal. Adalah baik sekiranya kita sebagai keluarga dapat memberi sokongan dengan sepenuhnya dan menggalakkan anak supaya mencapai tahap tertinggi dari segi kebujaksanaan dan sosial.


Masalah perubatan yang selalu dihadapi oleh anak yang ada Sindrom Down.
- Kecacatan jantung sejak lahir
- Infeksi (jangkitan) pada telinga
- Masalah penglihatan: mata juling, rabun jauh dan rabun dekat
- Masalah pernafasan seperti jangkitan paru-paru, tidak bernafas semasa tidur (terjadi pada sebilangan kanak-kanak kecil).
- Masalah ketidkstabilan tulang leher
- Gangguan sistem penghadaman seperti sekatan usus
- Masalah ketidakstabilan hormon

Jangka hayat anak yang ada Sindrom Down
Pada masa dahulu, masalah perubatan Sindrom Down selalu ada berkaitan dengan umur hidup yang pendek. Tetapi sekarang, ramai anak yang ada Sindrom Down boleh hidup lebih dari 50tahun dengan hidup yang berkualiti.

Penyebab Sindrom Down
Masih tidak diketahui lagi. Tetapi pembahagian kromosom yang tidak serata adalah faktor utama penyebab Sindrom Down untuk ibu yang lanjut umur. Risiko untuk menurunkan baka Sindrom Down meningkat dengan umur ibu. Risiko adalah 1% jika umur ibu menjangkau 40 ke 44 tahun.

Sindrom Down ini bukanlah penyakit yang diwarisi dari turun temurun. Ini tidak bermakna satu baka diwarisi dari ibubapa ke anak mereka. Tetapi dalam 4% kes, bahan kromosom yang lebih itu adalah akibat ketidakseimbangan dari salah seorang ibubapa yang merupai pembawa kromosom translokasi.

Sindrom Down boleh dikenalpasti semasa pranatal seperti biopsi chorionic pada 12 hingga 14 minggu dan amniocentesis pada minggu 16 hingga minggu ke-18.

Apa yang kita sebagai ibu bapa perlu lakukan?
Jika kita menyangka anak kita Sindrom Down, kita pelu membawa anak berjumpa doktor pakar kanak-kanak untuk penilaian perubatan. Daftarkan anak di bawah program intervensi awal.

Kebanyakan kanak-kanak Sindrom Down dapat hidup berdikari jika mereka dapat sokongan dan peluang yang mencukupi. Tetapi, kebolehan kanak-kanak Sindrom Down amat berbeza: daripada yang cukup serba boleh kepada yang terencat teruk. Program stimulasi infant dan program terapeutik perkembangan adalah amat disyorkan. Carta boleh diperolehi dari Klinik Sindrom Down.