Thursday, June 5, 2025

Dobi layan diri atau cuci di rumah? Mana yang lebih menjimatkan?

Hari ini aku pergi ke Kedai Dobi Layan Diri lagi. Setiap sepuluh hari sekali aku mencuci pakaian kerana di rumah tidak ada mesin basuh. Mesin basuh aku sudah rosak selama hampir tiga minggu.

‎Apa yang terjadi dengan mesin basuh aku? Hal ini akan aku ceritakan kemudian.

‎Proses mencuci pakaian di dobi layan diri sebenarnya cepat. Hanya 25 minit untuk sekali cucian. Pakaian kami sekeluarga cukup banyak. Ini adalah stok pakaian untuk sepuluh hari. Aku menggunakan satu mesin cuci 25kg yang perlu dibayar RM10 dan satu lagi mesin 14kg harganya RM6. Jumlah yang harus dibayar adalah RM16 untuk sekali cucian. Tidak perlu membawa sabun cuci baju, sebab aku tidak mahu susah susah membawa sabun cuci sendiri. Aku memilih menggunakan sabun yang sudah disediakan di dobi. Tidak perlu menambah kos tambahan, bukan?

‎Okay, mana yang lebih menjimatkan? Mencuci pakaian di dobi layan diri atau menggunakan mesin cuci sendiri di rumah?

‎Pada pendapat aku, jika anda hidup sendiri dan tidak masalah melonggokkan pakaian yang dah dipakai hingga sepuluh hari sebelum mencuci, pergi ke dobi lebih menjimat. Jika sekali cuci memerlukan perbelanjaan hanya RM6 dan pergi ke dobi layan diri tiga kali sebulan, maka anda hanya menghabiskan RM18. Setahun, perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mendobi sahaja adalah RM216. Namun, jika anda berkeluarga, sebulan kita perlu membayar RM48, dan setahun RM576. Perbelanjaan ini cukup besar, lebih-lebih lagi jika memiliki anak-anak kecil, kerana tidak mungkin kita yang beranak kecil mencuci pakaian setiap sepuluh hari sekali. Macam aku boleh menunggu sepuluh hari kerana anak-anak aku sudah besar. Bahkan, pakaian sekolah anak-anak aku selama mesin basuh rosak aku minta mereka cuci baju sekolah dengan tangan saja.

Namun, berdasarkan pengalaman aku yang pernah hidup sendiri bertahun-tahun lalu, menghabiskan RM18 untuk mencuci pakaian sebulan terasa cukup mahal. Perbelanjaan elektrik di rumah aku bahkan tidak sampai RM20 sebulan. Oleh sebab itu, aku menggunakan mesin basuh semi automatik. Aku juga jenis orang yang tidak suka pergi ke dobi layan diri dan membawa semua barang. Lebih baik aku tinggal di rumah dengan semua kemudahan asas yang ada. 

Jumlah kos perbelanjaan untuk mendobi yang aku sebut diatas tidak termasuk kos pengeringan. Hanya kos cuci sahaja. Kalau termasuk dengan kos pengeringan lagi bertambah kosnya. Aku hanya guna mesin basuh "washer" sahaja. Lepas habis cuci aku bawak balik ke rumah dan jemur dibawah matahari. Sememangnya aku tak pernah guna mesin pengeringan di kedai dobi layan diri. Aku generasi "old school" lebih suka baju yang dikeringkan dibawah cahaya matahari. 😅

Kesimpulannya untuk aku, dengan adanya mesin basuh dirumah lebih menjimatkan dan mesra poket. Akan tetapi terpulang kepada keperluan dan bajet masing-masing.

No comments:

Post a Comment