Wednesday, May 14, 2025

Hujan boleh mendatangkan kekecewaan

Pagi tadi keluar je dari rumah hantar Hanif dan Hadif ke sekolah tiba-tiba hujan lebat.
 
Paling tak suka bila hantar Hanif dan Hadif ke sekolah dalam keadaan hujan. Yang pertama sebab leceh nak hantar Hanif. Kalau terlalu lebat terpaksa hantar Hanif ke pintu belakang sebab pintu masuk bahagian depan jalan nak masuk ke dalam kawasan sekolah tiada bumbung.
Macam sekolah Hadif senang je. Kalau hujan akan ada cikgu-cikgu sekolah dan pakcik guard pegangkan payung bila kita "drop-off" anak-anak. Kemudian masuk je main gate dah ada bumbung sampai ke dewan. Oleh itu, tak ada masalah.

Tapi dia agak upset jugak sebab kalau hujan lebat dia kata tak ada PJ harini hahahaha. Kesian aku dengar. 

Syukur selepas drop-off Hadif hujan dah macam kurang sedikit. Hanif kata tak apalah mama, hantar ikut pintu depan je. Aku ikut je lah cakap dia walaupun aku risau juga dia kena hujan. Takut demam. Kawan pula minggu ini adalah minggu perperiksaan Penggal Pertama. Anak² korang pun mesti exam jugakkan. 

Selamat maju jaya anak² kita menghadapi minggu perperiksaan minggu ini. ❤️


"Add Gadget" tidak berfungsi?

Hari ini,

Dari tengahari aku tak boleh nak "Add Gadget" ke dalam blog. Tak tahu kenapa. Aku ingat browser aku problem aku try "sign out" dan "sign in" semula tetapi tetap juga sama. Petang tadi pun aku cuba nak "Add Gadget" tetap juga tak boleh masukkan ke dalam blog.


Bila kita klik dia macam tak ada apa-apa yang berlaku. Aku dah try guna telefon bimbit pun sama tak ada apa-apa yang terjadi.

Aku ingat aku je yang bermasalah, rupanya dalam "support group Google" ada blogger lain juga yang mengalami masalah yang sama. Bila dah tahu ada geng aku macam lega sedikit. Kalau korang nampak 8 jam yang lepas ada user yang buat aduan. Dan aku klik "I have the same question" je hahaha.

Kira, bukan blog aku sahaja yang terkena.

Sekarang cuma menunggu Google untuk cari solusi untuk selesaikan masalah ni. Time ada benda penting nak buat ada je situasi yang menguji kesabaran. 

Tuesday, May 13, 2025

Resepi Kangkung Goreng Tumis Belacan

Menyelerakan ke tidak?

Sayur kangkung adalah antara sayur kegemaran anak-anak aku. Kalau aku masak setiap hari pun dorang akan okay je. Anak-anak aku lebih suka sayur-sayuran kampung berbanding sawi, brocolli, kobis dan sebagainya. 

Kalau dulu masa zaman muda belia aku suka sayur kangkung direbus kemudian buat ulam makan dengan sambal belacan. Tak ada nasi pun takpe. Sebab tu selalu kena marah dengan nenek aku. 

Aku mula belajar masak sayur bertumis ni masa dah Tingkatan Lima, bila dah tinggal dengan emak aku. Dia yang ajar. Aku jarang masak sebab ayah aku lebih suka emak aku masak. Jadi, level aku masa tu hanya layak untuk menumbuk sambal belacan dan sambal tumis sayur hehehe.

Mula-mula aku datang Semenanjung dulu aku rasa pelik kenapa sayur-sayuran yang dimasak semuanya cuma hiris bawang, dengan ikan bilis dan goreng begitu sahaja. Sambal tu tak ditumbuk dengan cili dan belacan. Cili pun hiris je.

Bila dah lama aku tinggal disini aku baru faham itu sememangnya gaya masakan orang kat sini sebab bila pergi kedai nasi campur pun cara memasaknya sama sahaja. Aku tak makan sayur yang dimasak sebegitu huhu. Aku tak suka rasa dan bau daun tu. Aku ni memang agak memilih orangnya.

Dan lagi satu kalau makan kat luar aku memang tidak makan sayur kangkung sebab ada sejarah yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu, kalau teringin makan kangkung aku masak sendiri je.

Antara bahan penting dalam tumisan kangkung ialah belacan. Kalau tak ada belacan memang kurang sedap. Banyak sayur yang aku masak memang diletak belacan. Bau pun wangi. Kemudian, bawang merah, bawang putih, cili besar , cili api (kalau nak pedas) dan ikan bilis. Semua yang aku tulis ni adalah penyedap kepada kangkung. Skip salah satu rasa sayur tu nanti akan lain.

Bahan-bahan yang mesti ada untuk sayur kangkung yang berat dalam 400gm - 500gm

- Bawang Merah (5 biji)
- Bawang putih (4 biji)
- Cili Besar (3 biji)
- Cili Api (biasa aku letak sebiji sahaja)
- Ikan bilis (1/2 - 3/4 cawan ikut suka)
- Belacan (1 tsb)
- Garam (sedikit sahaja)

Cara penyediaan bahan tumisan:

1. Kopek kulit bawang merah dan bawang putih
2. Potong cili besar  dan cili kecil
3. Ikan bilis cuci dan toskan

Tumbuk bawang merah kemudian bawang putih. Setelah itu masukkan cili besar dan cili api yang telah dip otong.Dah agak-agak hancur (nak bagi lebih lumat pun boleh) masukkan ikan bilis dan tumbuk sehingga hancur. Dah lumat baru masukkan belacan.

Cara memasak:

1. Panaskan minyak (agak-agak tidak terlalu banyak, tidak terlalu sedikit)
2. Bila minyak dah panas berasap, masukkan bahan-bahan tumisan. Kacau sehingga naik bau dan kekuningan.
3. Boleh letak garam tapi jangan terlalu banyak sebab ikan bilis dan belacan dah masin. Nak tambah serbuk perasa Ajinomoto pun boleh. Taknak letak garam dan serbuk perasa pun tak apa. Asalkan kau bahagia.😆
4. Bila bahan tumisan dah garing dan naik bau masukkan sayur kangkung dan kacau sehingga masak. Boleh tambah air sedikit. Anak-anak aku suka sayur ada kuah sikit jadi aku letak air. Jangan letak air lebih sangat nanti jadi tak sedap.
5. Siap dan boleh dihidangkan. Makan dengan nasi panas-panas. Goreng pulak telur dadar. Lagilah sedap.

Kalau katalah korang try resepi ni sekali, percayalah korang takkan nak guna resepi setakat hiris bawang je melainkan kalau kau malas.

Selamat mencuba. 🥰

Kenapa masih kekal dengan Blogger?

Aku mula berblogging sejak dari tahun 2008. Tahun paling aktif aku ialah pada tahun 2008 sehingga 2010 kalau tak silap aku. Kena check balik semula. Aku pernah convert blog aku ni ke dot com kemudian kembali ke blogspot. Nantilah aku ceritakan. Kalau tetiba kerajinan aku sampai laa kan. 

Bila masuk 2011, masa ni aku dah mula sibuk jadi Life Planner aka Agen Insurans jadinya aku dah semakin kurang menulis. Macam biskut kejap ada kejap tak ada hehe.

Tahun ni dah tahun 2025. Aku masih lagi wujud disini. Alhamdulillah, masih lagi bernyawa. Allah panjangkan umur aku supaya aku menulis lagi walaupun ada masa tu sepi.

Bukannya aku tak ada idea nak tulis apa. Idea tu banyak. Melimpah ruah. Cumanya, haihh...kalau dah tak berapa nak rajin tu kan. 😆

Okaylah, back to the topic kenapa aku masih kekal dengan Blogger walaupun banyak platform untuk berblog wujud?

Pertama sekali, bila berblog guna Blogger kita boleh pilih nak guna blogspot sahaja atau nak convert ke dot com. Macam aku cerita di atas, aku pernah convert blogspot aku ni ke dot com. Dan bila aku kembali ke blogspot, entri yang aku tulis dalam ni tetap kekal. Cumanya, trafik sahaja yang bermasalah sedikit. Masa tu aku convert ke zulaikha dot com. Tapi, aku tak kisah tentang trafik asalkan apa yang aku tulis tidak hilang.

Kedua, sebab "bandwith" blogger ni unlimited di bawah "fair use policy". Faham kan maksud " fair use policy". Jadi, tak kira walau macam mana banyak data yang blog kita pindahkan dan berapa banyak paparan halaman yang diterima tidak menjadi masalah. Blog takkan "hang" atau ambil masa yang lama untuk "loading".

Ketiga, kita tidak perlu risau tentang berapa ramai pelawat yang blog kita terima atau berapa banyak paparan halaman yang diperoleh, kerana Blogger menyediakan lebar jalur yang mencukupi untuk menyokong blog yang sangat popular dengan berjuta-juta paparan halaman setiap bulan.

Keempat, selagi mana kita tidak melanggar peraturan Google, InsyaAllah blog kita akan wujud selama-lamanya sehingga kiamat atau sehingga dunia internet itu pupus.

Bukan tak tempting dengan design blog lain, boleh buat plugin etc, tapi nak kena bayar dan maintain setiap tahun. Bilaguna blogspot ni, tak perlu bayar pun akan sentiasa wujud. 

Tapi, terpulang dengan keperluan masing-masing. Macam aku, banyak kali juga terfikir nak tukar ke dot com tapi aku tak pasti yang aku boleh kekalkan dot com tu berapa lama. Ada banyak komitmen lain aku kena buat. 

Jadi, langkah terbaik aku layan je lah blog ni macam biasa. Ada masa rajin aku tulis. Tak ada masa aku buat dek je laaa. 😆

Tuesday, April 8, 2025

Salam Syawal Tahun 2025

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Harap-harap tidak terlambat lagi untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin untuk semua yang masuk ke dalam blog aku ni. Semoga raya anda semua tahun ni lebih "best" dari tahun² yang sebelumnya. 

Aku memang nak update entri baru, tapi keadaan yang sibuk tidak mengizinkan. Aku ni bukan setakat Bulan Ramadhan je sibuk. Setiap hari pun sibuk hehe.

Lepas raya baru agak bertenang sikit. Masih lagi mood balik dari beraya, cuti-cuti Malaysia. Mood kerja tu datang lambat sikit. Tambahan pulak sambung puasa enam. Memang lemau lah. Kerja tu kita jeling je. 😆

Nak update blog, nak update itu ini, nak buat video, nak clearkan album dalam phone, nak update akaun ehh macam-macam lagi lah. Nak pindah kedai lagi. Banyak keserabutan di otak.

Kita layankan dulu rasa malas itu erk haha. Yang mana dah habis Puasa Enam aku pun nak ucap Selamat Hari Raya juga. Dah habis Puasa Enam nikmat raya tu lain machiam sikit. Sebab itu, aku suka buat Puasa Enam. 

Yang mana baru nak buat Puasa Enam tu Selamat Berpuasa okay. Ayuh kita sama2 memeriahkan bulan Syawal tahun ini dengan khatam Puasa Enam. 🥰

Tuesday, February 4, 2025

Kisah Puan Zuraini, ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak


Ada seorang ibu tunggal. Mempunyai empat orang anak. Tiga dari empat anaknya tercicir dalam pelajaran. Ibu tunggal ini juga ada masalah kesihatan.

Apa yang terjadi sebelum ini, anak kedua dan ketiga terpaksa berhenti sekolah kerana terpaksa menjaga ibu yang sakit berbulan-bulan. Anak yang keempat berumur 7 tahun, sepatutnya masuk Darjah Satu tahun ini, tapi disebabkan tidak mendaftar awal atas sebab isu ibu yang sakit jadi tercicir juga.

Mereka juga tidak dapat apa² bantuan dari mana² agensi kerajaan.

Perkara pertama kita buat ialah kita hubungkan mereka dengan pusat zakat supaya dapat bantuan yang selayaknya. 

Alhamdulillah, harini ketiga-tiga anak ibu tunggal ini sudah berjaya didaftarkan ke sekolah. Anak yang keempat akan mula bersekolah Darjah Satu untuk sesi persekolahan 2025 yang bakal bermula. Anak kedua yang tercicir dalam sekolah sebelum ini telah didaftarkan masuk ke SKM untuk kursus Sijil Kulinari. Begitu juga anak ketiga puan ini telah didaftarkan untuk Sijil Elektrikal.

Segala keperluan dan perbelanjaan penyediaan untuk masuk ke sekolah akan ditanggung oleh Projek Komuniti Kita yang mana ia merupakan hasil dari kedai online kita.

Dan Alhamdulillah respons dari Pusat Zakat Selangor ialah apabila mereka mula bersekolah pihak zakat akan bantu anak² ini dengan memberi mereka bantuan persekolahan.

Sedikit kisah Razif, pembantu untuk buat kuih raya tahun ini


Beberapa hari lepas saya dapat seorang pembantu OKU yang bernama Razif. 

Razif tolong packing biskut masuk bekas. Razif ni dulu kemalangan kemudian koma selama dua bulan. Selepas ayahnya meninggal dunia, Razif dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa.

Dalam keadaan Razif yang tidak begitu baik, susah mahu berjalan, Razif memang tidak boleh buat kerja berat dan kerja yang memerlukan Razif berdiri untuk agak lama. Kalau packing biskut, buat dalam keadaan duduk pun boleh.

Semasa jumpa Razif di pusat transit kali pertama sangat mengejutkan sebab seolah² macam tak ada harapan untuk hidup. Razif "depression".

Badan kurus kering kerana hanya hidup makan maggi sahaja. Bila Razif bekerja semalam dah berbincang kita keluarkan Razif dari Pusat Transit. Tidak boleh lama² berada di Pusat Transit sebab berada di Pusat Transit terlalu lama sangat berisiko (ada sebab nya). Tetapi, Razif menolak. Razif kata, "Kalau saya tinggal di Pusat Transit, sekurang²nya saya ada makanan. Kalau saya berpindah ke rumah yang disediakan macam macam mana saya nak makan, saya tak ada duit. Kalau saya kerja di ofis boleh lah saya makan biskut² kat ofis tu..." 

Sahabat saya (YB Viral) Aidil Bin Md Yunus kata jangan risau tentang makanan. Yang tu kita fikir kemudian. Sekarang ni kena kena keluarkan Razif dari Pusat Transit dahulu. Bila dah kena "bebel" jadi nya, Razif pun akur. 

Dan beberapa malam yang lepas juga Razif "checkout" dari Pusat Transit dan dibawa ke rumah yang telah disediakan. 

Untuk Razif, kita akan usaha sehabis baik supaya Razif dapat bantuan selayaknya seperti bantuan dari Baitulmal atau Pusat Zakat dan buat sementara waktu Razif akan bekerja bersama kami.

Saya mengucapkan terima kasih diatas segala sokongan sumbangan anda semua kepada kami melalui Kedai Why be Viral dot com. Ini kerana sebahagian dari pembelian anda lah yang membuatkan kami berjaya menjayakan misi kami untuk membantu mereka yang memerlukan.

Hanya Allah sahaja yang mampu membalas kembali pertolongan dan sokongan kalian. 😌

Monday, February 3, 2025

Rabbit & Guinea Pig Farm, Taman Buaya Melaka


Selepas berehat sebentar, kami menuju ke Rabbit dan Guinea Pig Farm.

Dalam banyak-banyak ladang arnab yang aku pergi, Rabbit & Guinea Pig Farm, Taman Buaya Melaka ini yang paling bersih. Tempat ini sangat terjaga. Tidak berbau busuk.


Guinea Pig di sini sangat aktif, nakal dan montel. Hanif dan Hadif sangat suka bermain-main dengan Guinea Pig dan Arnab di sini.

Kalau tengok memang geram. Tapi aku tak berani nak pegang sebab aku memang geli hahaha. Sebab aku tengok macam ulat sagu je menggeletis.



Guinea Pig ini kan adalah sejenis tikus. Cuma bezanya ia noleh dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Kekurangannya, ialah bila kita pelihara Guinea Pig ni tidak ada perasaan seperti anjing atau kucing yang boleh sayang tuan dia balik. Jadi, fikir panjang sebelum nak bela Guinea Pig ni hihihi.



Arnab di sini sangatlah baik. Dah duduk disangkar masing-masing tidak akan terjun. Adalah seekor dua yang terjun. Tapi kebanyakkannya duduk diam dalam kawasan masing-masing.



Hadif setiap arnab tu dia sentuh dan nak pegang. Punyalah suka. Tapi ada arnab tu berat. Ada tu pulak yang gigit dia manja. Tapi, still dia tetap juga nak dukung.

Yang guinea pig tu memang tak reti nak duduk diam. 




Review aku untuk Rabbit & Guinea Pig Farm ni ialah 9/10 sebab boleh lepak habiskan masa di sini tanpa had masa. Boleh bermain-main dengan arnab dan guinea pig selama mana korang suka. 😊

Saturday, February 1, 2025

Crocodile Sanctuary, Taman Buaya Melaka

Selepas kami masuk ke Lovebirds Paradise dan memberi penyu makan kita pun ke arah kolam-kolam buaya. Semasa kami berada di dalam Lovebirds Paradise, sesi memberi makan buaya telah bermula. Ingatkan tak sempat, tetapi sempat juga kami menyaksikan pertunjukan tersebut. 

Berebut makanan, siapa cepat dia dapat

Dalam keadaan kagum dan seronok, kecut juga perut aku nak rekod video dan ambil gambar buaya-buaya ni.

Ini yang paling otai katanya, mungkin "King", lupa nak tanya

Apa yang aku perhatikan, buaya-buaya ini pergerakannya perlahan apabila di darat. Dan aku rasa kalau kata kau jatuh ke dalam sarang buaya selagi buaya tu jauh jangan panik mungkin boleh melepaskan diri. Ini aku cakap mungkin. Dan kalau ada jalan keluarlah hahaha.

Jarak paling dekat aku tengok buaya

Kalau kau ala-ala redha menerima segalanya tanpa berusaha untuk menyelamatkan diri memang matilah dibaham buaya, lebih - lebih lagi bila buaya ni berebut-rebut untuk membaham kau huhuhu.


Buaya sedang berehat

Tapi, semoga kita tak jatuh ke dalam sarang buayalah. Tengok gigi pun takut.

Buaya dalam keadaan bersedia

Masa aku ambil gambar pun aku dah rasa nak terkucil dah. Punyalah takut dengan buaya. Walaupun aku membesar di kampung dan selalu nampak buaya jangan ingat aku tak takut buaya.

Seluruh manusia umat di dunia ini takut dengan buaya. 😹

Untuk Sejarah Taman Buaya Melaka ni boleh search di Pakcik Google. Nanti jumpalah asal-usul Taman Buaya ni. Aku pun tak tahu yang banyak juga buaya di dalam ni. Sebab dulu aku ingat ooo okay, ada buaya je. Sebab itu tertangguh-tangguh nak pergi. Ini pun kami pergi sebab dah macam tak tahu nak ke mana. Jadi, okaylah kita pergi je Taman Buaya sebab tak pernah pergi kan.

Untuk harga yang kami bayar berbaloi untuk datang ke sini.

Lovebirds Paradise Aviary, Taman Buaya Melaka


Jika ke Taman Buaya Melaka, jangan lupa masuk ke Lovebirds Paradise Aviary. Di dalam ni ada ayam,itik, merak dan lain-lain lagi.

Tapi, jangan bandingkan dengan Langkawi Bird Paradise atau sekarang lebih dikenali dengan Langkawi Wildlife Park. Atau dibandingkan dengan KL Bird Park. Berbaloi juga untuk bawa anak-anak berhibur disini. 

Itik

Dan haiwan di dalam ni pun jinak. Tidak takut dengan manusia. Mungkin sebab dah terbiasa bila pengunjung datang memberi makanan.
Merak yang sombong kemudian minta makan

Ada seekor burung merak yang pada mulanya tidak mahu makan apabila diberikan oleh Hadif tetapi kemudiannya datang tanpa rasa segan silu meminta makanan.


Aku pula yang jadi cuak sebab takut kena patut haha. Masih tidak lupa memori dikejar oleh sekawan angsa zaman kecil-kecil dahulu kala.
Perasan tak, merak tu mengekor Hadif

Nak layan semua haiwan spesis burung di dalam ini pun mengambil masa lebih kurang dalam 20 sehingga 30 minit. Sebab seronok memberi makan. 




Keluar dari Lovebirds Paradise ini kita jumpa pula kolam kura-kura. Pada mulanya ingat dua ekor sahaja, tetapi rupanya lebih dari dua ekor dalam satu kolam dan semuanya menggelupur kelaparan. 


Kalau korang nampak kolam penyu ke kura-kura jangan kedekut untuk memberi mereka makan. Sebab selalunya kita ingat haiwan ni tak hairan dengan makanan yang kita beri. 

Penyu berebut makanan

Jangan terkejut kalau tengok haiwan ni semua berebut nak makan lobak. Sampaikan Hadif kata "sorry" sebab lobak yang kami beli di pintu utama sudah habis.