Friday, January 14, 2011

Perubahan-perubahan pada ibu mengandung

Ketika perkembangan embrio dan fetus terus berlaku dalam kawasan uterus yang gelap itu, semua fungsi badan ibu yang mengandung sedang menyesuaikan dirinya terhadap keperluan-keperluan hamil. Asas bagi semua perubahan ini ialah kesan hormon seks estrogen dan progesteron yang dihasilkan oleh sel-sel plasenta dari peringkat paling awal, dan kebanyakan menjangka "permintaan" yang akan dibuat oleh fetus terhadap ibunya untuk mendapatkan oksigen, makanan dan untuk mengumuh bahan-bahan buangannya.

Pada minggu-minggu awal peringkat embrio, organ-organ embrio sedang membentuk pada kadar yang di luar dugaan, si ibu dengan mudah membekalkan oksigen dan makanan yang diperlukan. Pada minggu-minggu seterus peringkat fetus, pertumbuhannya menigkat lebih cepat lagi. Dengan ini fetus memerlukan lebih banyak bekalan oksigen dan zat makanan untuk tempoh yang lebih lama. Badan ibu menyesuaikan dirinya kepada permintaan ini dengan mengurangkan fungsinya sendiri supaya zat makanan (terutamanya gula) berada lebih lama di dalam darahnya dan lebih senang diserap oleh plasenta untuk kegunaan fetus. Tenaga selanjutnya disumbangkan oleh ketenangan yang lazim didapati pada wanita hamil; tona ototnya berkurangan, kerjaya juga turut berkurangan dan oleh kerana tenaga tidak digunakan, ia disimpan sebagai longgokan lemak dalam buah dada, paha dan punggungnya. Tetapi kelambatan fungsi badannya
mempunyai beberapa kelemahan. Saluran makanannya menjadi kurang aktif menyebabkan perut kita semakin perlahan mengosongkan isinya dan sembelit adalah lazim. Ginjal pula menerima zat-zat makanan yang lebih pekat dalam saluran darahnya dan lebih banyak zat makanan itu tertapis keluar bersama air kencing. Ini merupakan sebahagian dari pengorbanan ibu mengandung tetapi kehilangan ini mudah digantikan dengan memakan makanan seimbang.



Plasenta perlu menerima sejumlah besar darah kerana ia diperlukan untuk mengekstra zat-zat makanan yang diperlukan oleh bayi dipenuhi oleh pertambahan sebanyak 40% isipadu darah ibu dan oleh pengedarannya yang lebih pantas melalui salur darahnya. Si ibu berupaya mencapai keadaan ini dengan menambah jumlah darah yang dipam keluar dengan menambah jumlah darah yang dipam keluar dengan setiap degupan dan dengan menambahkan kadar denyutan jantung. Inilah sebabnya mengapa sesetengah wanita menyedari tindakan jantungnya ketika sedang hamil dan mengadu akan darah gemuruh. Ini kerana lebih banyak darah dipam di sekeliling dengan pantas. Darah merah mengambil lebih banyak oksigen serta diberikan kepada bayi melalui plasenta.

Pertukaran ini berlaku melalui sel-sel khas yang membentuk plasenta. Akan tetapi, darah ibu dan darah bayi tetap berasingan pada setiap masa. Darah fetus beredar ke seluruh badannya lalu keluar di sepanjang saluran pada tali pusat dan melalui rangkaian saluran halus (disebut kapilari) dalam plasenta yang terdiri dari sel-sel bahagian luar telur yang tersenyawa. Salur-salur halus ini diliputi oleh sel-sel yang membentuk plasenta. Walaupun plasenta menyerupai mangkuk apabila dilihat selepas bayi dilahirkan, di bawah mikroskop ia terdiri dari beratus-ratus unjuran halus seperti jari disebut (vilus), tiap-tiap satunya mengandungi rangkaian kapilari halus yang mana darah bayi mengalir melalui kapilari tersebut. Luas permukaan vilus ini adalah besar iaitu mencapai 11 meter persegi atau 12 ela persegi. Vilus ini terjuntai ke dalam sebuah "tasik" darah. Tasik ini dipenuhi darah yang datang dari edaran ibunya. Ia sampai ke tasik tersebut melalui salur darah yang membekalkan darah kepada uterusnya. Tasik itu berada jauh di dalam uterus, dan ia dilapisi tisu yang dibuat oleh plasenta, seolah-olah kolam mandi yang dipisahkan dari taman oleh sebuah lombongan konkrit. Setiap kali jantung ibu berdenyut, darahnya dipam memancut-mancut ke dalam tasik berdasarkan plasenta, membawa bersamanya zat makanan dan oksigen. Tatkala  ia mengalir di celah dan sekeliling unjuran seperti rumpai pada plasenta, oksigen dan zat makanan tadi diambil darinya oleh sel-sel plasenta manakala bahan-bahan buangan dari fetus dikumuhkan ke dalam saluran darah ibu melalui sel-sel plasenta. Malah seperti yang boleh dilihat, plasenta bertindak sebagai paru-paru, ginjal dan usus yang amat cekap untuk fetus.

Setelah bersih dari bahan-bahan buangannya dan kaya dengan zat makanan serta oksigen, darah dalam kapilari vilus dikembalikan ke fetus melalui vena tali pusat lalu memasuki semula badannya pada pusat. Sementara itu, darah ibu yang mengandungi bahan-bahan buangan tadi dipamkan keluar dari tasi berdasarkan plasenta dan memasuki semula edaran darah ibu untuk dibersihkan oleh ginjalnya, untuk mengambil lebih banyak oksigen dari paru-paru dan juga zat makanan dari saluran makanan serta hatinya.

Dengan cara ini fetus mendapat pilihan pertama dari apa yang boleh didapati oleh ibu walaupun pada ketika itu si ibu sedang kebuluran, fetus masih mendapat jumlah makanan yang berpatutan dan berat badannya tidak begitu berkurangan ketika dilahirkan.

Bahan-bahan lain juga beredar melalui plasenta misalnya, jika si ibu meminum minuman keras, sebahagian darinya akan melalui plasenta tetapi nampaknya tidak membahayakan bayi itu. Ubat boleh melalui plasenta, dengan itu, jika si ibu diberi antibiotik atau anaestatik, sebahagian darinya akan muncul dalam fetus dengan agak cepat. Barangkali apa yang lebih penting ialah antibodi yang melalui plasenta itu. Jika seseorang itu dijangkiti kuman, ia akan menghasilkan sejenis bahan di dalam badannya yang menyerang dan membinasakan kuman yang sama jika dijangkitinya sekali lagi. Bahan-bahan ini disebut antibodi. Antibodi yang dihasilkan oleh ibu bergerak melalui plasenta sepanjang masa dalam tempoh separuh kedua kehamilan.

Dengan demikian, apabila bayi dilahirkan, ia mempunyai sejumlah kecil antibodi. Ini melindunginya dari jangkitan penyakit yang terdapat di sekitarnya sehinggalah ia mula menghasilkan antibodinya sendiri. Ini dapat dilakukan dengan pantas.

Pertumbuhan dan perkembangan bayi merupakan suatu peristiwa yang luar biasa lagi menakjubkan. Dari sel tunggal yang mengandungi segala maklumat dalam bentuk kod yang diperlukan untuk menghamilkan satu makhluk yang baru. Pertumbuhan ini berlaku selama 266 hari sahaja. Pada akhir tempoh ini, seorang manusia yang baru pun terbentuk, yang lapan juta kali lebih berat dari sel tersenyawa yang asal. Sel-sel itu telah mengalami perkembangan dan perbezaan untuk membentuk tisu-tisu dan organ-organ khusus. Kesemuanya diselaraskan dan bekerja supaya bayi itu boleh bernafas, menghadamkan makanan, menggerakkan otot-ototnya, mendengar bunyi, merasai makanan, bergerakbalas terhadap rangsangan dan berkembang. Suatu pertumbuhan yang paling menakjubkan.

No comments:

Post a Comment

RRR - RISE ROAR REVOLT (2022)

RRR - RISE, ROAR, REVOLT (2022)  (Filem India paling mahal)  HINDI MOVIES  Genre: Action, Adventure, Drama, Historical.  Stars: N.T Rama Rao...