Thursday, January 30, 2025

Burung Nuri, Taman Buaya Melaka


Dalam Taman Buaya Melaka ada satu sangkar yang menempatkan burung-burung nuri.

Tidak ada sesiapa yang boleh masuk ke dalam. Kami pun cuma melihat dan bermain-main dengan burung-burung nuri yang ada dari luar.

Burung-burung nuri yang ada didalam ini sangat comel dan bising. Pantang melihat orang mendekati sangkar pasti riuh.

Susah kita mahu melihat spesis burung nuri sekarang kerana burung nuri ini hampir pupus. Di Malaysia, jika mahu memihara burung nuri perlu mempunyai lesen. Jika tidak mempunyai dokumen yang sah dan disabit kesalahan boleh membuatkan kita didenda atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.

Ini kerana semua spesis burung nuri adalah spesis yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Dan jangan sesekali menyeludup haiwan kecil ini. Salah di sisi undang-undang.

Sunday, January 26, 2025

Projek Ramadhan 2025


Gambar semasa Potluck Kasih Sayang
Pada 01 Januari 2025

Selama aku dah terlibat dengan kawan² untuk buat kerja amal dan menyantuni anak² yatim tak pernah aku buat projek amal pada bulan Ramadhan. 

Tahun ini kali pertama kita akan buat Projek Ramadhan (Projek Komuniti Kita) dengan menaja sahur untuk golongan asnaf, jalanan, pusat transit dan rentan selama sebulan. 

Jangan memandang rendah. Ramai yang asnaf atau jalanan ini berpuasa. Ramai yang mengadu untuk sahur mereka makan makanan yang dah basi. Jangan skeptikal. Kita yang memandang rendah ni belum tentu masuk syurga.

Kita faham kenapa makanan tu basi. Jangan salahkan yang memberi. Ramai yang masak untuk bulan puasa seawal 12 tengahari. Ada yang memberi makanan Percuma untuk berbuka.

Potluck Kasih Sayang
01 Januari 2025

Perlu kita ketahui, asnaf dan jalanan ni mana ada kemudahan seperti peti ais atau microwave. Tinggal cuma di bilik sewa kecik dengan bayaran harian. Jadi, untuk sahur memang sah makanan tu basi. Kecuali kuih muih seperti donut, cekodok dan yang seangkatan dengannya.

Jadi, sebab itu kita buka 1000 SET KOMBO TEH MORINGA + SAFFRON untuk kita menampung perbelanjaan pada bulan puasa nanti. 
Kita dah mula buka Set Kombo beberapa hari yang lepas dan Alhamdulillah terima kasih atas sambutan. Kita masih ada berbaki 30 Hari lagi sebelum Ramadhan 2025. Terima kasih atas sokongan semua. Doakan semoga Projek Ramadhan pertama kami ini berjaya. ❤

Rumah Reptilia (Reptiles House) di Taman Buaya Melaka

Selepas aku pusing di kawasan Taman Miniatur Malaysia aku masuk ke Rumah Reptilia. Suami dan anak-anak aku dah sampai dulu dah. Yang aku masih fokus ambil gambar monumen ikonik.

Dalam Rumah Reptilia ada beberapa spesis ular. Ada ular tikus ekor merah, ular sawa dan yang lain-lain tu aku tak ingat nama. Tapi dalam kategori berbisa juga kecuali ular sawa.

Ular yang paling menarik kami tengok masa tu ialah Ular Tikus Ekor Merah sebab ia bergerak macam nak cari jalan keluar. Boleh rujuk video Instagram aku. Lama juga kami memerhatikan pergerakan ular yang seekor ni. Dah macam dia menunjuk-nunjuk pulak.

Selalunya, bila kita orang pergi zoo atau mana-mana taman yang ada ular ni susah nak tengok ular tu bergerak. Semanjang tidur je. Duduk diam-diam. Tapi yang ini memang aktif. Nama Ular Tikus Ekor Merah, ada yang kata Ular Hijau Ekor Merah. Aku ikut je apa yang tertulis disitu. Tapi aku tengok ekor ular ni macam warna "silver" ke aku yang rabun warna. 😅😅😅

Ular Tikus Ekor Merah




Kalau mengikut dari apa yang aku baca, Ular Tikus Ekor Merah ni berbisa. Korang boleh try tanya pakcik Google. 

Dah habis layan Ular Tikus Ekor Merah ni kami layan tengok Ular Sawa Batik pulak. Kebetulan juga masa kami datang tengok ular sawa ada seekor tu bergerak-gerak. Baru habis makan. Tengok perut dia buncit. 

Time tu dok betulkan kepala dia agaknya nak tidur sebab kekenyangan. Masa aku tengok tu geli juga. Bila pergi taman haiwan bolehlah tengok ular dekat disebalik cermin. Kalau dalam realiti sebenar mampus keras aku akan lari dulu. Terbayang-bayang Anaconda kan. 😅

Kalau korang datang ke sini, masuk lah ke Rumah Reptilia ni. Walaupun ularnya tak banyak tapi ada seekor ular yang aktif ni pun boleh buat kau terhibur. 😆

Saturday, January 25, 2025

Taman Miniatur Malaysia (Malaysia in Miniature)


Taman Miniatur Malaysia ni adalah salah satu kawasan yang ada di dalam Taman Buaya Melaka yang mana sebanyak 14 replika monumen ikonik di Malaysia dalam saiz yang lebih kecil.

Masa masuk tu aku agak kagum sebab saiz replika monumen ikonik yang ada semua ketinggian lebih kurang aku. Teringat cerita Ultraman yang berlawan dengan raksasa hehe.

Dibuat pada tahun 2008. Kira lama juga. 17 tahun weyh. Inilah kali pertama aku masuk ke sini dan nampak Taman Miniatur ni semua. Jadi, logik la kalau replika kat sini nampak macam lama disebabkan hujan panas.

Nak masuk dalam kawasan miniatur tak boleh. Kita hanya dibenarkan untuk melihat dari luar kawasan sahaja. 

Aku dapat tangkap gambar replika monumen yang ada seperti Bangunan Parlimen, Istana Kehakiman, Jambatan Pulau Pinang dan lain-lain lagi.

Menara Berkembar Petronas (KLCC) 

Menara Kuala Lumpur

Tugu Negara

Bangunan Parlimen Malaysia

Masjid Negara, Kuala Lumpur


Bangunan Stadthuys


Replika Raflesia

Perdana Putra


Istana Kesultanan Melaka

Replika Keris

Ini sahaja gambar yang aku sempat ambil. Aku tak pernah lagi pergi tempat lain yang ada replika macam ni. So, dah ada penambahan dalam "wish list" aku. Nak pergi Malaysia Heritage Studios Dan MinNature Malaysia. Kumpul wang dulu. 😆


Taman Buaya Melaka dan Harga Tiket, Melaka

Taman Buaya & Rekreasi Melaka

Hari pertama pergi bercuti sebelum masuk Bandar Melaka kami singgah di Taman Buaya Melaka. Selepas makan di Sultan Salai kita pun terus menuju ke Taman Buaya Melaka. Kami bertolak dari Sultan Salai pukul 1.30 petang dan sampai di Taman Buaya Melaka pukul 2.30 petang. Sepatutnya boleh sampai lebih awal tapi kita orang pusing dua kali sebab terlepas simpang nak masuk ke parking. 

Sebelum ni setiap kali pergi Melaka kita lalu je. Seberang Taman Buaya Melaka ni ialah Zoo Melaka. Zoo Melaka ni kita dah banyak kali pergi. Tapi Taman Buaya Melaka tu kira kali pertama kita pergi haritu.

Hadiflah orang yang paling excited sekali nak tengok buaya sebab dia memang suka dengan haiwan. Dulu masa pergi Taman Buaya Langkawi, Taman Buaya Teluk Sengat masa tu dia kecik lagi. Kali ini umur pun dah 11 tahun, dah besar dan banyak soalan yang keluar dari mulut. Aku memang malas nak layan. Yang rajin melayan suami aku. Tabik spring kat papa dia sanggup melayan anak-anak yang banyak bertanya.

Bila aku buat research baru aku tahu rupa-rupanya Taman Buaya Melaka ni telah ditubuhkan pada tahun 1987. Lama gila kan. Aku pun baru perasan Taman Buaya Melaka ni berbelas tahun yang lepas dan antara sebab aku tak pergi sebab aku rasa spesis buaya mesti tak banyak. Bila tengok dari luar kau akan automatik jadi skeptikal macam ni, "Eh, keciknya Taman Buaya Melaka..." Tapi bila aku pergi hari tu rupa-rupanya sis dah underestimate hahaha. Tak baik tau. 

Yang ni kami tak sempat join. Sebab sampai pun dah 2.30pm 😅

Nak masuk Taman Buaya Melaka ni kena bayar tiket. Ingat free ke? Masuk tandas pun bayar tau. Dan harga tiket masuk ada dua jenis. Satu harga untuk hari biasa (Weekdays), satu harga lagi ialah untuk Cuti Umum, Cuti Sekolah dan Sabtu Ahad (Public Holiday, School Holiday, Saturday Sunday). Nak murah sikit datang Hari Isnin hingga Jumaat. 

Masa kami pergi tempoh hari kami bayar RM19.00 untuk Dewasa dan RM15.00 untuk kanak-kanak. Sebab cuti sekolah. Jumlah yang kami harus bayar ialah RM72.00 untuk tiga orang dewasa dan seorang kanak-kanak. 

Harga Tiket Tahun 2025

Selain dari buaya, ada banyak lagi haiwan yang lain. Ada arnab, itik , angsa, ular dan lain lain lagi.

Jadi, demi untuk memudahkan anda semua yang tersesat di blog ni, aku akan buat setiap tempat yang aku pusing dalam Taman Buaya tu satu entri. Nak cerita semua memang tak cukup satu entri. Boleh je nanti klik yang aku akan letak dibawah ni okay:

1. Taman Miniatur Malaysia

2. Rumah Reptilia

3. Burung Nuri

4. Lovebirds Paradise

5. Crocodile Sanctuary

6. Rabbit & Guinea Pig Farm

7. Deer Farm

Berbaloi atau tidak dengan harga yang kita bayar? Pada aku okaylah. Ada lagi yang lebih mahal dari ni. Untuk habiskan masa selama dua hingga jam dalam ni dan anak-anak pun seronok aku rasa berbaloi.

Tapi lain orang lain jangkaannya. Aku memang suka masuk zoo dan taman-taman haiwan. Ada yang aku kena bayar mahal. Kat area Melaka tu banyak lagi Muzium yang harga tiketnya lebih mahal dari Taman Buaya. Kalau kau pusing semua Muzium kat Bandar Melaka tu boleh bankrap terus hahahaha.

Tak percaya silalah cuba. 

Zoo Melaka seberang je

***Kalau nak ambil gambar di dalam blog ini silakan. Ada yang aku tak letak watermark. Tapi tolong bagi kredit sumber gambar dari blog ni okay dan jangan salahgunakan gambar-gambar aku.***

Friday, January 24, 2025

Sudahnya, betul ke salah Teh Moringa?


Amalan setiap pagi

Mak mertua aku ada pokok moringa. Setiap kali kalau suami atau bapa mertua aku demam, mak mertua aku akan masakkan daun moringa sama ada dia buat sup atau tumis. Yang selalu aku nampak makan moringa ialah bapak mertua aku.

Klik di sini untuk Teh Moringa 100% Daun Tempatan. Harga di website adalah lebih murah dari Shopee dan Tik Tok. Cuma kalau di Shopee kalau ada rezeki korang boleh dapat free shipping atau baucer. Tapi, terpulang kepada korang nak beli dimana pun. 

Aku pernah rasa moringa tumis mak mertua aku masak. Ada rasa macam pucuk manis sikit. Sebab, sebelum masak daun pucuk manis biasa nya aku akan koyakkan dedaun pucuk manis tu jadi kecik. Rasa pucuk manis tu akan lebih sedap. 

Berbalik kepada daun moringa.

Kumpulan penyelidik UPM telah berjaya membangunkan daun moringa sebagai supplement multivitamin yang murah dalam bentuk tablet. Boleh klik disini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mempromosikan Moringa sebagai alternatif kepada bekalan makanan yang di important untuk merawat malnutrisi sejak dari tahun 1998.

Sebaik-baiknya, nak amalkan moringa ini, amalkan secara semulajadi. Paling asas makan daun je. Senang. 😆

Kedua, boleh minum Moringa yang telah dibungkus dengan uncang menjadi teh.

Ketiga, jangan sesekali campurkan moringa dengan kopi. Jangan buat kerja tak ada hasil. Takkan dapat khasiat moringa tu.

Keempat, kalau minum Moringa SEPULUH TAN sehari tapi tak jaga gaya hidup dan pemakanan pun tak jadi apa.

Sudahnya, salah moringa. Sama juga kalau makan ubat sampai berpuluh jenis tapi tak tukar gaya hidup pun akan jadi sia-sia. Telan seribu satu supplement tapi tak kawal apa yang sepatutnya tak ada gunanya. Buat rosak buah pinggang je.

Thursday, January 23, 2025

Makan Daging Lemak Salai di Sultan Salai, Simpang Ampat


Beberapa minggu yang lalu, ada orang bagi idea dan mencadangkan untuk makan di Sultan Salai. 


Disebabkan aku memang peminat setia Daging Salai Masak Lemak aku pun ajak suami aku makan kat situ. Rupa-rupanya, kebetulan pada masa yang sama suami aku pun nak bawa makan situ. Dia kata nanti awak try rasa sedap ke tidak. 

Jadi, dalam perjalanan ke Melaka kami sekeluarga singgah makan di Sultan Salai. Bertolak dari rumah dalam 10.30 pagi, sampai di Sultan Salai dalam pukul 12.30 tengahari.


Masa kami sampai orang tak ramai lagi. Masih lengang. Kawasan pun agak luas, banyak kipas. So, tak panas.

Sampai je, kita orang cari meja. Cari meja yang betul-betul dibawah kipas hehe. Tak ada lah berasap nanti.


Kemudian aku dengan suami beratur ambil makanan. Cara nak ambil makanan tu sama lebih kurang macam makan di Lomak Salai. Cuma di Lomak Salai guna troli. Sultan Salai guna tray sahaja.

Ada lauk disini dibalut dengan 'Cling Wrap". Pada aku okaylah untuk mengelakkan dari dihinggapi oleh lalat. Yakin bersih.

Okay, masa untuk bagi aku punya "review".

Sebelum aku nak bagi aku punya review aku nak bagitahu awal-awal. Review aku adalah mengikut citarasa aku. Mengikut selera aku. Sedap pada tekak aku tak semestinya sedap pada tekak korang. Dan aku suka review jujur. Tapi aku tak mengecam. Dari dulu aku memang begitu. Jadi, korang yang baca ni chill chill je okay.

Daging Bakar Air Asam




Untuk Daging Bakar rasa biasa sahaja. Dagingnya agak liat. Nak kunyah kena ambil masa yang lama. Suami aku dia tak boleh kunyah dia letak tepi. Macam aku kunyah lama sikit baru telan lepas tu minum air. Air Asam dia cair sangat. Tak ada rasa. Air asam Lemang To'ki sedap. Kalau nak meniaga boleh buat ikut Lemang To'ki punya style. Bab harga RM11.00 satu pek tu pada aku okay.  

Daging Salai Masak Lemak


Daging Salai Masak Lemak ni kami order satu mangkuk besar RM30.00. Untuk portion begini pada aku berbaloi sebab kami makan 4 orang lebih dari cukup. Cuma daging dia pun sama macam Daging Bakar, agak liat. Aku rasa untuk mengelakkan pelanggan terseksa mengunyah daging pihak kitchen Sultan Salai boleh potong Daging tu nipis. Sebab aku ada dapat daging yang nipis keliatannya itu tidak terasa hahaha. Rasa pedas tu ada. Kuah lemak tu rasa biasa. Rasa okay je. Suami aku kata kurang masin dan kurang pekat.

Pucuk Ubi Masak Lemak

Pucuk Ubi Masak Lemak dia biasa, agak cair sikit dan kurang masin. Tapi aku bedal je lah. Kena habiskan. Ada Cendawan Celup Tepung tu dah kira selamat.

Cendawan Celup Tepung

Memang sedap !


Untuk Cendawan Celup Tepung memang sedap. Rasa crunchy. Rasa masin semua cukup. Inilah penyelamat hidangan kami tengahari tu. Anak-anak aku suka gila. Dorang kata menyesal tak ambik dua. Harga sepinggan Cendawan Celup Tepung ni RM8.00. Kira okaylah. Kalau korang datang sini mesti cuba Cendawan ni. Takkan menyesal. Nak puas makan ambik dua pinggan hehehe.


Ayam goreng Sultan Salai pun sedap. Seketul harga RM5.00. Berbaloi dengan harga. Ye lah nak murah pun, nak murah macam mana lagi. Kalau anak-anak korang tak tahu nak makan apa aku sangat cadangkan ambik ayam goreng ni je. Anak-anak aku memang suka ayam. Jadi, pergi makan memana mesti akan order ayam.

Selain dari apa yang aku makan, ada banyak lagi makanan dan lauk-lauk yang lain. Korang boleh tengok gambar yang aku share kat bawah. Udang Celup Tepung kami tak order sebab dah order Cendawan kan. Lagipun anak-anak aku kurang makan udang. 

Untuk penggemar salad, dorang ada pilihan untuk korang yang suka salad. Rasa aku tak boleh komen sebab aku tak makan. Aku bukan pemakan salad.

Udang Celup Tepung



Ikan bakar

Salad

Ini aku rasa Labu Masak Lemak

Bawal Emas Bakar

Ayam Sambal dan Paru Berlado

Secara keseluruhannya, aku bagi Rating 7/10 sebab Cendawan Celup Tepung dan Ayam Goreng dia. Lauk pauk lain aku tak try. 

Jadi, untuk korang yang tak pernah datang makan di Sultan Salai, boleh cuba. Masa kami nak balik tu orang dah mula ramai. Kiranya, ada juga peminat Sultan Salai ni.

Yang mana tak pernah pergi korang boleh ikut alamat ni:

Sultan Salai- Daging Salai, Itik Salai, Siput Sedut Masak Lemak @ Simpang Ampat Melaka.