Sunday, March 28, 2010

Kehamilan 'Overdue'


Berapa lama kehamilan berakhir adalah berbeza diantara wanita. Tarikh jangka yang diberikan oleh doktor adalah pada usia kandungan 40 minggu atau 280 hari dari tarikh terakhir haid anda. Kehamilan cukup bulan pula bermaksud kandungan berusia selepas 38 minggu.
Anda digalakkan berjumpa dengan doktor untuk mengesahkan kehamilan anda melalui ujian ultrabunyi sebaik sahaja anda disahkan hamil. Ini adalah untuk memastikan samada tarikh jangka lahir berdasarkan haid anda sama dengan tarikh jangkaan melalui ultrasound scan. Sekiranya terdapat perbezaan yang besar, jangkaan mengunakan scan akan digunakan kerana ia sangat tepat berbanding dengan tarikh haid terakhir terutama pada bagi kandungan 3 bulan kebawah. Walaubagaimanapun ketepatan menjadi semakin kurang apabila usia kandungan meningkat.

Mengapa Perlu ‘Induce’

Untuk mengurangkan risiko kematian bayi kerana kajian menunjukkan yang terdapat kadar kematian bayi yang ketara selepas 42 minggu. Itulah sebabnya induksi dilakukan sebelum usia kandungan mencapai 42 minggu.

Selain dari kematian bayi, juga didapati bayi yang lahir lebih dari jangka mempunyai risiko tinggi untuk mengalami ‘meconium aspiration syndrome’ yang mempunyai kadar kematian yang agak tinggi. Bayi yang lahir lebih dari dari jangkaan juga mempunyai berat badan yang lebih besar seterusnya meninggikan risiko kelahiran melalui pembedahan caesarean atau melalui vacuum dan forceps.

Apakah Peluang Saya Untuk Melahir Secara Normal Selepas 40 Minggu?

Sebenarnya peluang anda agak tinggi. Kajian menunjukkan pada usia kandungan 40 minggu, 65% akan melahirkan pada minggu depan tanpa perlu ‘induce’. Jadi, cuma segelintir sahaja akhirnya yang benar-benar perlu untuk di’induce’.

Kelahiran Pra-Matang

Kelahiran pra-matang ialah kelahiran yang berlaku sebelum kandungan berusia 37 minggu. Ia boleh berlaku secara spontan atau kerana di ‘induced’ disebabkan oleh komplikasi kehamilan.

Sebab-Sebab Kelahiran Pra-Matang

  • Uri yang tidak normal
  • Masalah pangkal rahim yang longgar
  • Jangkitan kuman pada sistem peranakkan
  • Masalah perubatan pada ibu seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya
  • Masalah pada bayi dalam kandungan

Risiko

Terdapat banyak faktor boleh menjurus kepada kelahiran pra-matang. Sesetengah dapat diatasi oleh anda sendiri seperti:
  • Merokok
  • Minum alkohol
  • Menagih dadah
  • Badan terlalu kurus
  • Kekurangan zat makanan yang keterlaluan
Menghindari faktor diatas akan memberi peluang untuk kandungan anda menjadi matang (38-42 miggu) . Risiko-risiko lain yang tidak kurang pentingnya termasuklah:
  • Gusi berkuman
  • Jangkitan kuman
  • Hormon tak seimbang
  • Pangkal rahim yang longgar( cervicle incompetence)
  • Rahim terlalu sensitif
  • Uri berkedudukan bawah (Placenta Praevia)
  • Masalah perubatan seperti darah tinggi, sakit jantung, kencing manis dan sebagainya
  • Tekanan emosi yang keterlaluan
  • Umur dibawah 17 tahun
  • Umur melebihi 35 tahun
  • Fibroid
  • Kandungan kembar
  • Bayi yang tidak normal
  • Sejarah kelahiran pra-matang sebelumnya

Tanda-Tanda Kelahiran Pra-Matang

Kelahiran Pra-matang merupakan komplikasi yang sangat serius. Tetapi ramai wanita tidak memahami tanda-tanda awal kelahiran ini. Sekiranya dapat dikesan lebih awal, mungkin ia akan dapat dicegah dan memberikan bayi anda peluang hidup yang besar. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti dibawah, berjumpalah dengan doktor dengan seberapa segera.
  • Keluar cecair dari faraj terutama bila ia secara tiba-tiba dan banyak
  • Pendarahan kecil atau keluar darah bercampur lendir dari faraj
  • Sakit perut seperti senggugut atau mengalami 5 kontraksi dalam masa satu jam
  • Rasa tekanan dan berat pada pelvis
  • Sakit belakang
  • Bengkak pada muka dan mata
  • Pedih semasa kencing
  • Muntah

Bagaimana Untuk Mengurangkan Risiko Kelahiran Pra-Matang

  • Hindari dari jangkitan kuman seperti kencing kotor atau jangkitan faraj-amalkan penjagaan faraj yang optimal.
  • Amalkan penjagaan dental yang baik-berjumpalah dengan doktor gigi sekiranya ada masalah terutama sebelum merancang untuk hamil.
  • Jangan merokok, minum alkohol dan ubatan yang tidak disarankan oleh doktor
  • Cegah dehydrasi dengan meminum air 8 gelas sehari.

Rawatan

  • Rehat sepenuhnya samada dihospital atau dirumah
  • Hindari dari hubungan seks
  • Ubatan seperti ventolin mungkin akan digunakan untuk menghentikan kontraksi dan mengurang kecutan pada rahim.
  • Suntikan Dexamethasone untuk matangkan paru-paru bayi
  • Antibiotik sekiranya anda mengalami sebarang jangkitan

Sunday, March 21, 2010

Kehamilan Luar Rahim

Salah satu komplikasi hamil ialah mengandung di luar rahim. Ini terjadi apabila telur yang tersenyawa membuat implantasi di luar rahim. Kebanyakkan berlaku di dalam salur fallopian itu sendiri (>50%). Itulah sebabnya kandungan luar rahim juga dipanggil kandungan tubal (tubal pregnancy).
Tempat-tempat lain termasuklah ovari, serviks dan dalam ruang abdomen. Apabila janin membesar di tempat yang tidak sepatutnya,ia boleh pecah dan menyebabkan pendarahan. Ini boleh mengancam nyawa dan memberi kesan kepada tahap kesuburan anda.Sebab itulah sangat penting untuk wanita mengenali gejala dan tanda awal kandungan luar rahim ini kerana ia boleh menyelamatkan nyawa anda.

Gejalan dan tanda (simptom)

Tanda-tandanya agak sama dengan keguguran biasa menyebabkan ramai wanita tidak begitu perihatin dan menganggap ia sesuatu yang ringan. Tanda-tandanya ialah:
  • Haid yang lambat
  • Pendarahan kecil selalunya berwarna coklat.
  • Ujian kehamilan positif
  • Pening-pening
  • Sakit pada bahagian bawah perut
  • Sakit pada bahu
  • Sakit yang tajam menikam adalah tanda serius yang boleh menunjukkan yang anda mengalami kandungan luar rahim.
Sekiranya gejala begini berlaku, berjumpalah dengan doktor anda secepat mungkin.

Risiko untuk kehamilan luar rahim

Risiko yang paling penting yang menjurus kepada kehamilan diluar rahim ialah salur fallopian yang rosak. Anda berisiko tinggi sekiranya anda mempunyai keadaan dan pernah menjalani prosedur yang melibatkan salur fallopian. Jangkitan kuman dan surgeri pada pelvis meninggikan risiko anda untuk mendapatnya. Pembedahan ikat atau tubal ligation juga boleh menambahkan risiko mengandung luar rahim.
Lain-lain faktor yang meninggikan risiko anda termasuklah:
  • Sekiranya anda mempunyai kandungan luar rahim sebelumnya.
  • Sekiranya anda pernah mengalami radang pelvis
  • Sekiranya anda pernah mendapat rawatan kesuburan
  • Sekiranya anda mengalami endometriosis
  • Sekiranya anda mengamal IUD sebagai alat kontrasepsi.

Diagnosa

Sekiranya anda mengalami gejala dan tanda (symptom) seperti di atas, doktor akan membuat beberapa ujian seperti ujian air kencing untuk mempastikan samada anda benar-benar hamil atau tidak. Sekiranya positif, ujian hCG akan dibuat dan membandingkan tahapnya dengan umur sebenar kandungan anda. Jika tahapnya rendah dari yang sepatutnya ada kemungkinan anda hamil di luar rahim.
Doktor juga akan melakukan pemeriksaan pelvis dan cuba penilaian mana yang tidak normal. Ujian ultra-bunyi juga penting dan sekiranya terdapat tanda seperti pendarahan dan karung di luar rahim, berkemungkinan besar anda hamil di luar rahim. Walau bagaimanapun, kadang-kadang tanda-tanda ini tidak begitu jelas dan ini boleh memberi kepada diagnosa yang salah.

Rawatan

Sekiranya dikesan peringkat awal, rawatan adalah mudah. Ubat yang dinamakan methotrexate akan disuntik ke dalam karung untuk mencairkannya dan membiarkan badan menyerap kandungan tersebut secara semulajadi. Tapi sekiranya kandungan sudah terlalu besar, pembedahan membuang kandungan ini akan dilakukan. Amat penting adalah wanita perlu mendapatkan rawatan serta-merta kerana sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kematian.

Harapan kehamilan pada masa depan

Ramai wanita yang pernah mengalami kehamilan di luar rahim bimbang tentang peluang untuk hamil secara normal terjejas. Sesungguhnya kehamilan luar rahim boleh meninggikan risiko untuk mendapat komplikasi yang sama pada masa hadapan. Tetapi ramai juga di antara wanita ini yang berjaya hamil seperti biasa dan mendapat anak setahun selepas itu.
Sekiranya sistem peranakan rosak dengan teruk, samada disebabkan oleh kehamilan di luar rahim atau pembedahan untuk merawatnya, kesuburan anda mungkin terganggu. Berbincanglah dengan doktor anda tentang peluang anda untuk hamil.

Thursday, March 18, 2010

Pendarahan Faraj Semasa Hamil


Banyak sebab kenapa wanita mengalami pedarahan faraj semasa hamil. Ada wanita yang mengalami pendarahan ringan terutamanya pada awal trimester pertama kemudian pendarahan tersebut berhenti dengan sendirinya, tetapi ada juga wanita yang mengalami pendarahan sekali sekala sahaja. Ada juga yang mengalami pendarahan teruk dan mengejut.

1. Pendarahan Implantasi

Dianggarkan 25% daripada wanita mengalami pendarahan semasa trimester pertama. Salah satu sebab pendarahan ini ialah pendarahan implantasi.
Apa itu pendarahan implantasi? 
Pendarahan implantasi selalunya tidak sebanyak darah haid dan kebanyakkannya berwarna coklat atau merah jambu. Ia berlaku apabila telur yang sudahpun bersenyawa dengan sperma bergerak kerahim dan cuba membenamkan dirinya kedalam dinding rahim. Proses ini dinamakan implantasi. Pendarahan berlaku semasa proses implantasi ini. Yang membezakannya dengan darah haid ialah jumlah darah yang keluar adalah sedikit dan terhad pada 1-3 hari sahaja.
Bilakan implantasi selalu terjadi?
Ia selalunya berlaku 5-12 hari dari tarikh ovulasi, masa yang sama, anda sepatutnya datang haid.

2. Keguguran

Pendarahan semasa awal hamil tidak semestinya anda gugur kerana 50% daripada wanita hamil yang mengalami pendarahan tidak keguguran. Keguguran boleh berlaku pada bila-bila masa pada 12 minggu pertama dan berlaku pada 15-20% kehamilan. Sekiranya anda merasa yang terdapat tisu seperti daging keluar dari faraj, bawa tisu tersebut ke klinik supaya doktor boleh memeriksanya. Kebanyakkan keguguran tidak dapat dielakkan. Ia adalah cara badan untuk mencegah dari hamil janin yang tidak normal. Keguguran tiada kaitan dengan cara hidup yang aktif dan tiada bukti yang senaman atau seks boleh menyebabkan keguguran.

3. Hamil di luar rahim(Ectopic Pregnancy)

Sebab lain yang boleh menyebabkan pendarahan ialah mengandung diluar rahim. Sekiranya ia berlaku pada salur fallopian, ia mungkin akan pecah dan boleh membahayakan nyawa. Ia berlaku pada 1 dalam 60 kehamilan

4. Kandungan Anggur

Sebab lain yang boleh menyebabkan pendarahaan ialah mengandung anggur. Ia disebabkan oleh ketumbuhan tisu tidak normal yang membesar dengan cepat. Tiada janin didalam kehamilan ini.

5. Ketumbuhan pada pangkal rahim

Kanser pangkal rahim atau polip juga boleh menyebabkan pendarahan. Pemeriksaan faraj akan dapat memberikan diagnosa pada masalah ini.

6. Placental Abruption

Uri mungkin akan merekah dari dinding rahim sebelum atau semasa bersalin. Ia boleh akan menyebabkan pendarahan. Cuma 1% wanita hamil yang mengalami placenta abruption ini. Selalunya ia berlaku pada lewat kehamilan dan beserta dengan dengan kesakitan pada perut.

7. Placenta Previa atau uri di kedudukan bawah

Apabila uri berada pada kedudukan bawah, Ia mungkin akan menutupi sebahagian dari lubang pangkal rahim atau sepenuhnya dan ini dinamakan placenta preavia. PP adalah sangat serius dan memerlukan rawatan segera sekinya berlaku pendarahan

8. Tanda bersalin

Pada lewat kehamilan, pendarahan dari faraj adalah salah satu tanda sudah sampai saat bersalin. Ia terjadi apabila mucus pluk yang menutupi pintu rahim terjatuh disebabkan oleh kontaksi rahim menyebabkan darah dan lendir keluar dari serviks. Ia dipanggil show. Ia adalah sangat kerap terjadi semasa kelahiran bermula.

Uri Berkedudukan Rendah


Uri Berkedudukan Rendah (Placenta Preavia)

Uri adalah organ yang terdapat didalam rahim wanita hamil, bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi dari ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal ialah apabila ia berada di tengah atau dibahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh dari kawasan dimana bayi sepatutnya keluar dari rahim.  Uri di kedudukan bawah pula berada dikawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.
Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui diawal kehamilan kerana 20% daripada uri berada dibawah apa awalnya, tetapi apabila kandungan berusia 28 minggu kebanyakkan dari uri sudah tertarik keatas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma 5% sahaja yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Pada masa ini keadaan ini dipanggil Placenta Previa.

Komplikasi dan rawatan

Sekiranya uri anda masih dibawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk mengalakkanya naik keatas. Rawatan pula bergantung kepada tahap placenta previa (PP) tersebut, samada ia menutup keseluruhan laluan bayi atau separuh sahaja. Tahap keterukan dibahagikan kepada 4 jenis. Jenis 1-4. Jenis 1 adalah yang paling ringan, iaitu uri berada dikedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim manakala jenis ke 4  pula bermaksud uri menutup keseluruhan pintu rahim.
Sekiranya wanita mengalami PP jenis ke 4, terdapat risiko tinggi untuk kelahiran pra-matang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simtom pesakit dengan memasukkan pesakit ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Monday, March 15, 2010

Sakit-sakit Kecil Semasa Hamil

Menangani sakit-sakit kecil semasa hamil

Sebelum mengandung, masalah sakit dan demam kecil memang senang untuk diatasi kerana ubat-ubatan senang diperolehi dimana-mana. Kalau sakit kepala makan saja ubat tahan sakit, kalau demam telan sahaja ubat demam. Tetapi apabila anda hamil, segalanya berubah!
Sekiranya anda boleh, elakkan semua ubat-ubatan semasa awal mengandung iaitu pada 3 bulan pertama kerana pada masa itu bayi membentuk dengan kadar yang sangat cepat. Lebih bagus sekiranya anda tidak mengambil sebarang ubat sepanjang tempoh kehamilan awal ini.
Kebanyakkan wanita yang takut memakan ubat yang dipreskripsikan doktor mungkin beralih kepada ubat-ubatan traditional kerana menyangka ubat ini selamat tetapi ada juga ubat traditional dan herba semulajadi yang boleh mendatang kemudaratan kerpada pesakit. Ramai wanita menyangka yang ia bukan sejenis ubat dan membuat keputusan untuk tidak memberitahu doktor.

Sakit kepala

Ibu hamil tidak disarankan mengambil ubat seperti aspirin atau ubatan yang terdiri dari kumpulan NSAIDs. Panadol walaubagaimanapun adalah selamat. Sakit kepala yang biasa boleh dilegakan dengan mengurangkan tekanan dan dengan mengamalkan teknik relaksasi. Hindarkan dari makanan yang boleh menyebabkan sakit kepala seperti coklat dan minuman bercafin. Mereka yang menghadapi migrane mungkin perluu mendapat ubat yang lebih kuat dengan preskripsi doktor.

Sakit urat dan lenguh-lenguh

Selalunya akan hilang dengan sendiri. Anda boleh mengosok dan meletakkan kain atau menda suam ditempat yang sakit. Panadol juga boleh mengurangkan sakit. Sekiranya ia tidak juga berkurangan selepas beberapa hari, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan

Loya dan muntah

Doktor sebenarnya lebih suka untuk tidak memberikan sebarang preskripsi untuk loya, sebaliknya menyarankan memakan makanan dengan kadar sedidit tetapi lebih kerap. Hindarkan makanan pedas dan berkari.

Pedih ulu hati dan ketidakhadaman

Kebanyakan antacid adalah selamat untuk dimakan pada mana-mana peringakt bersalin. Jangan risau untuk mengambilnya. Kurang makanan berminyak, pedas dan minuman berkafin.

Demam selsema

Minum air secukupnya untuk rehidrasi, menyedut wap panas boleh menolong mengurangkan selsema dan hidung tersumbat. Sekiranya anda mengalami selsema yang teruk dan ia terjadi di awal megandung, spray hidung akan adalah selamat digunakan. Selepas semester pertama, antihistamine biasa adalah selamat digunakan.

Batuk-batuk

Ubat batuk selalunya selamat digunakan asalkan tidak mengandungi alcohol. Berbincanglah dengan doktor anda untuk recomendasi yang lebih baik bagi wanita hamil.

Sunday, March 14, 2010

Pecah Ketuban Sebelum Masa

Pecah ketuban sebelum masa terjadi apabila karung air ketuban yang menyelubungi bayi pecah dan bocor. ia lebih kerap terjadi pada saat melahirkan, tetapi sekiranya ia berlaku kurang dari 37 minggu dan didapati tiada tanda-tanda melahirkan ia dipangil PROM atau Premature Rupture of Membrane.

Adakah saya perlu di'induce'?

Sekiranya PROM berlaku pada usia kandungan sudah matang, doktor anda mungkin akan menyarankan untuk menunggu selepas 24 jam kerana didapati 80% akan melahirkan tanpa perlu di’induce. Menunggu lebih dari 24 jam akan meninggikan risiko jangkitan kuman dan tidak disarankan.
Menunggu lebih dari 24 jam pula selalunya dibuat sekiranya kandungan masih tidak cukup bulan, dalam masa yang sama doktor dapat memberikan ubat yang sepatutnya agar paru-paru bayi dapat peluang untuk matang.

Betulkah ketuban saya telah pecah?

Kadang-kadang wanita agak ragu  samada air yang keluar dari faraj betul betul air ketuban atau cuma air kencing atau lendir yang berlebihan. Air ketuban tidak hancing dan keluar secara tiba-tiba dan selalunya meleleh membasahi paha atau kain yang dipakai. Sekiranya anda tidak begitu pasti, merujuklah kepada doktor untuk kepastian.
Pemeriksaan termasuklah menggunakan ultrasound untuk mengetahui samada terdapat kekurangan air ketuban atau tidak dan pemeriksaan faraj untuk melihat samada terdapat takungan air atau tidak. Anda mungkin akan disuruh untuk batuk dan sekiranya terdapat air keluar dari lubang pintu rahim, adalah disahkan anda mengalami PROM.
Kadang-kadang doktor juga akan mengambil ‘swab’ untuk dihantar ke makmal bagi ujian jangkitan kuman.

Rawatan

Setelah dipastikan yang anda mengalami PROM, doktor selalunya akan berbincang tentang pilihan rawatan yang terbaik untuk anda. Sekiranya kandungan anda cukup bulan, anda selalunya akan di’induce’ selepas 24 jam. Jika disyaki terdapat tanda-tanda jangkitan kuman ubat antibiotik akan diberikan.
Sekiranya kandungan tidak cukup bulan, terdapat risiko tinggi untuk kelahiran pra-matang. Bayi pra-matang terdedah kepada beberapa masalah serius termasuklah, kesukaran bernafas disebabkan paru-paru paru yang tidak matang berserta dengan masalah organ-organ lain seperti sistem imuniti yang belum membentuk menyebabkan bayi tak cukup bulan kerap mendapat jangkitan kuman. Semua bayi yang tidak matang selalunya akan dijaga dengan rapi dan wad yang khas untuk mereka.

Adakah ketuban boleh bercantum semula?

Ya! Memang ada peluang untuk bercantum sekiranya kebocoran yang berlaku adalah kecil. Kajian menunjukkan kurang dari 10% % PROM bercantum semula dan kandungan diteruskan sehingga cukup bulan.
Sekiranya kelahiran tidak dapat dielakkan, ibu akan diberikan ubat yang dipanggil dexamethasone untuk menolong mematangkan paru-paru bayi. Ibu juga mungkin akan diberikan ubat untuk mengurangkan kontraksi rahim.
Selalunya ibu akan dimasukkan ke hospital untuk beberapa hari untuk memantau sebarang komplikasi yang bakal timbul. Beberapa ujian darah mungkin diambil untuk melihat tanda-tanda awal jangkitan. Sekiranya didapati terdapat simtom  seperti demam, sakit perut atau bayi dalam keadaan ‘distress’ kelahiran selalunya akan disarankan.

Apakah peluang bayi saya untuk hidup?

Di Malaysia, peluang bayi pra-matang untuk hidup agak tinggi. Sekiranya lahir pada usia 30 minggu, pelungnya amat cerah dengan kadar 75-80%. Walabagaimanpun, kadar untuk hidup semakin kurang apabila bayi 28-30 iaitu pada kadar 60% dan sekiranya kurang dari 26-28 minggu, peluang untuk hidup adalah 20-40% sahaja.

Merokok Semasa Hamil

Kenapa ia berbahaya?
Bayi didalam rahim mendapat segala sumber dari ibunya. Itu termasuk zat-zat makanan dan oksigen, melalui uri dan tali pusatnya. Merokok semestinya akan mendedahkan bayi kepada toksin yang terdapat dalam asap rokok.
Seorang ibu yang merokok harus berfikir dengan serius tentang keputusan untuk berhenti kerana satu nyawa bergantung sepenuhnya kepadanya.Menjadi hamil boleh memberikan motivasi yang kuat kepada seorang ibu untuk berhenti dari merokok demi anak yang masih belum dilahirkan.

Apa yang asap rokok boleh buat kepada badan saya?

Sekiranya seseorang merokok, oksigen didalam darah akan digantikan dengan karbon monoksid menyebakan kandungan oksigen didalam darah akan berkurangan dari biasa. Bahan yang terdapat di dalam asap rokok juga mengandungi pelbagai jenis toksin yang boleh memberi kesan kepada uri yang membawa makanan kepada bayi. Mereka juga lebih berisiko untuk mendapat keguguran semasa awal mengandung dan mengalami pendarahan uri yang boleh menyebakan kematian bayi.

Bagaimana merokok boleh memberikan bahaya kepada bayi semasa dalam perut ibu?

Mengikut kajian, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang merokok:
  • Lebih berisiko untuk dilahirkan pra-matang dan lebih kecil tubuh badannya.
  • Mempunyai berat badan kurang 200g dari bayi normal
  • Lebih berisiko untuk mengalami kematian kot ‘cot death’
  • Lebih kerap mengalami deman dan sakit-sakit
  • Lebih kerap mengalami penyakit telinga dan asma semasa kecil

Bagaimana untuk berhenti merokok?

Tidak pernah terlewat untuk berhenti merokok. Setiap rokok yang tidak dihisap akan menyebabkan anda hidup lebih lama dan menolong bayi anda. Kerosakan yang disebabkan oleh rokok sebelumnya boleh diperbaiki oleh badan secara semulajadi. Berjumpalah dengan pakar kaunseling atau doktor yang boleh menolong anda. Kuatkan semangat anda.

6 Tanda Hamil Yang Anda Perlu Risau

Kehamilan melibatkan perubahan fisiologi tubuh dan kebanyakkan tanda tanda kehamilan berpunca dari rembesan hormon yang dikeluarkan oleh uri. Rasa mual, muntah sekali sekala, sengal perut dan pening merupakan sebahagian dari sakit sakit ringan yang kerap terjadi dan sesuatu yang anda tidak perlu risau. Walaubagaimanapun, terdapat juga tanda tanda kehamilan yang wanita fikir ia adalah simtom kehamilan biasa tetapi sebenarnya adalah sesuatu yang serius. Berikut adalah tanda tanda amaran yang anda perlu risau dan perlu segera berjumpa doktor sekiranya ia terjadi.

Tanda Amaran Serius 1: Pendarahan dan Pitam Di Awal Kehamilan

Pendarahan faraj kerap terjadi diawal kehamilan dan sering dikaitkan dengan keguguran. Walaubagaimanapun sekiranya pendarahan disertai dengan sakit pada perut dan rasa pitam, ia mungkin tanda kehamilan diluar rahim atau ‘ectopic pregnancy’. Hamil diluar rahim terjadi apabila telur yang disenyawakan terbenam di dalam salur peranakan atau sekitar kawasan pelvis dan bukan didalam rahim. Sekiranya kandungan ini pecah, ia akan menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk dan boleh membahayakan nyawa. Pendarahan faraj juga boleh berlaku semasa trimester ke 2 atau ke 3  tetapi ia lebih dikaitkan dengan uri bawah ( placenta previa ) atau abruptio placenta, ia satu keadaan dimana uri merekah dari dinding rahim menyebabkan pendarahan yang teruk berlaku. Jangan berlengah untuk berjumpa dengan doktor sekiranya berlaku pendarahan tidak kira tempoh kehamilan anda.

Tanda Amaran Serius 2: Muntah keterlaluan

Rasa mual dan muntah ringan memang kerap terjadi terutamanya di awal kehamilan tetapi sekiranya muntah dan mual anda keterlaluan sehingga tidak berdaya meneruskan tugas harian, anda dikatakan mengalami 'Hyperemesis Gravidarum' . 'Hyperemesis Gravidarum' ialah keadaan dimana terjadi kekurangan bendalir dan mineral badan yang teruk yang boleh menyebabkan komplikasi serius. Dehidrasi dan kekurangan zat yang teruk badan akibat muntah dikaitkan dengan kecacatan janin dan kelahiran pra-matang. Sekiranya anda mengalami mual, terdapat ubat yang selamat yang boleh dimakan untuk mengurangkan muntah dan dapatkan nasihat tentang pemakanan yang boleh dihindari semasa konsultasi dengan doktor. Sekiranya muntah anda masih tidak dapat dikawal, anda mungkin akan dimasukkan ke wad dan rawatan rehidrasi akan diberikan untuk mengantikan bendalir dan mineral yang hilang.

Tanda Amaran Serius 3: Pergerakkan bayi kurang secara mendadak

Memang kerap terjadi diwaktu waktu tertentu ibu merasa pergerakkan bayi kurang aktif dari biasa tetapi sekiranya pergerakan bayi tiba tiba menurun berjam-jam lamanya, ia mungkin tanda bayi kekurangan oksigen atau tenaga. Sekiranya anda rasa bayi tidak begitu aktif , cuba dulu tip ini. Minum air sejuk dan makan atau tidur mengiring dan perhatikan seketika samada bayi kembali aktif atau tidak. Anda juga boleh memerikan stimulasi dengan cuba dengarkan muzik atau bunyi-bunyian untuk mengejutkan bayi dari tidur. Mencatat pergerakkan bayi anda mungkin boleh menolong. Secara umumnya, anda selalunya akan merasa 10 pergerakkan dalam masa 2 jam, sekiranya kurang, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor, ujian CTG ( jantung bayi) dan Ultrasounds boleh menentukan kesihatan bayi anda. 

Tanda Amaran Serius 4: Kontraksi Pada Awal Trimester Ke 3

Kontraksi yang kerap mungkin tanda kelahiran pra-matang tapi bagi ibu kali pertama, mereka sering keliru dengan kontraksi Braxton Hicks. Braxton Hick boleh terjadi bila bila masa tetapi ia tidak konsisten dan akan berhenti dengan sendiri selepas beberapa jam. Kontraksi sebenar akan menjadi lebih kerap, bertambah sakit dan sekiranya disertai dengan pendarahan ' show' iaitu darah bercampur lendir, kemungkinan besar anda bakal mengalami kelahiran pra-matang. Kiranya anda pasti kontraksi anda semakin kerap, jumpa doktor dengan segera dan jangan tunggu keesokkan harinya. Sekiranya ia masih dalam peringkat awal, doktor masih sempat untuk cuba memberhentikan kontraksi dan memberikan ubat matangkan paru-paru bayi. Dengan itu, risiko komplikasi bayi pra-matang akan dapat dikurangkan.

Tanda Amaran Serius 5: Pecah Air Ketuban

Sekiranya anda sedang berehat, berbaring atau menonton TV dan tiba-tiba air mengalir keluar dari faraj membasahi sarung, baju atau cadar tilam anda, kemungkinan anda mengalami pecah air ketuban. Pecah ketuban kerap dikelirukan dengan aliran air kencing kerana terkencing secara tiba tiba juga sering terjadi disebabkan oleh rahim yang memberi tekanan pada pundi kencing. Sekiranya anda kurang pasti samada ia air kencing atau ketuban, pergi ke tandas dan buang air kencing sepenuhnya. Sekiranya air masih mengalir dicelah kangkang anda, sudah pasti anda pecah ketuban. Jumpalah doktor dengan segera. Pecah ketuban mempunyai risiko tersendiri seperti jangkitan kuman pada bayi yang boleh memberikan komplikasi yang serius selepas dilahirkan.

Tanda Amaran Serius 6: Sakit Kepala berterusan, Penglihatan kabur dan Bengkak keterlaluan 

Sekiranya anda mengalami masalah ini semasa trimester ke 3, kemungkinan besar anda mengalami Pre-Eclampsia. Ia adalah keadaan dimana darah tinggi naik dengan mendadak disertai dengan protin yang banyak dalam urin. Ia adalah satu komplikasi kehamilan yang serius dan boleh membawa maut. Jumpa doktor dengan segera untuk pemeriksaan tekanan darah dan air kencing. Pemeriksaan antenatal yang rutin boleh mengawal penyakit ini pada peringkat awal.

Wednesday, March 10, 2010

Hanif Demam lagi?

fuhhh...luahan pertama aku. Dah pukul 12.51am untuk jap jap tengok tarikh dulu....haaa 10 Mar 2010. Letih seharian melayan karenah Hanif. Segala apa yang dirancang semuanya terbatal. Cancel Program.. Inilah penangan Hanif kalau dia tak sihat. Malam semalam dari pukul 2.30 pagi aku tak tido sebab Hanif asyik merengek jer. Ku ingatkan macam biasa tapi bila asyik merengek jer perasaan sabarku mula hilang. Ye la...mana la tahan bila dengar budak merengek-rengek. Dah la time tu memang time yang paling best untuk bermimpi. Aduh...aduh...

Bila dah pukul 3 lebih tu aku dapat rasakan yang Hanif demam. Kesian kat dia. Geram geram aku pun layan jugak lah. Bagi aku itu la tanggungjawab seorang mama yang bagi aku sungguh mencabar. Time bila dorang sakit dan kita kena jaga. Semuanya serba tak kena. Kena pulak tu malam-malam yang mana time orang lain sedap dibuai mimpi.

Pukul 5 pagi aku terus bangun sebab dah tak tahan terus amik syrup then bagi dia dalam 5ml macam tu. Memang aku biar jer dia nangis... Tension. Tapi lama mana hati seorang ibu yang sanggup biar anak dia menangis merayu-rayu. Itu la aku. Konon nak buat-buat merajuk dengan baby umur 1 tahun 2 bulan...hehe...tapi kan bila tengok Hanif menangis aku terus cair. Hanif siap datang kat mama dia mintak peluk lagi...macam nak cakap "tolong la mama Hanif tak sihat ni"...akhirnya hati tu luluh juga. Terus dipeluk Hanif dengan penuh kasih sayang sambil bagi susu...siap cakap "Sayangnya mama kat Hanif ni". Akhirnya Hanif tertido di pangkuan mama dia. Mungkin penangan ubat demam tu ditambah pula dengan keletihan bersengkang mata menahan kesakitan tu.

Bila bangun jer pagi tengok muka Hanif teruk...bibir merah, pipi pon merah macam babydoll. Badan panas giler. Mama mandikan dengan air sejuk bagi suhu badan Hanif turun. Lepas tu bawak pergi klinik. Bila dah sampai kat klinik tu alahai...sehat la pulak. Macam tak ada ape-ape jer. Tapi muka memang muka demam. Doktor kata Hanif punye tekak bengkak that's why la dia tak nak makan. Jadi menu cadangan doktor ialah makan nasi putih dengan sup sahaja tanpa berlauk. Balik jer umah terus bagi ubat flu, demam dengan antibiotik. Itu pun meraung-raung bila mama bagi makan ubat. Errmmm...macam mama dia la tak suka makan ubat...hehe..Lepas tu mama masak bubur yang macam ala-ala style McD tu...Suka Hanif makan tau...Hanif cakap "mama masak sedap"... ;)

Alhamdulillah...lepas dua kali makan ubat ok la sikit. Bukan makan ubat aje tau. Balik dari klinik mama siap mandikan Hanif dengan air ECPI lagi. Pastu minum jugak air ECPI tu. Kira dua kali jugak mama basahkan badan Hanif dengan air ECPI tu. hehe...macam promote la pulak. Tak kisah la orang nak kata apa pon. Tapi tak dinafikan memang elok lebih-lebih lagi untuk baby macam Hanif dan selepas makan ubat yang terakhir untuk hari 9 Mar 2010 badan Hanif tak panas lagi dan dapat tidur dengan nyenyak. Kalau tak nyenyak tu tak kan la mama dia ada mengadap lappy nie...!

Sunday, March 7, 2010

Kelahiran dan Bakteria bermanfaat

Alangkah senangnya jika sesungguhnya bayi dibawa oleh burung atau tidak perlu melalui proses kehamilan dan kelahiran yang sukar. Tetapi hakikatnya kita harus terima yang kelahiran bayi ke dunia ini adalah sama ada melalui kelahiran vagina ataupun melalui pembadahan Caeserean, dan kedua-dua cara ini mempunyai beberapa kelebihan dan kelemahan. Kali ini, biarlah kita tumpukan perhatian kepada kelahiran melalui pembedahan Caeserean.

Doktor mengesyorkan pembedahan Ceaserean berdasarkan beberapa keadaan perubatan. Beberapa faktor yang menentukan pembedahan Ceaserean perlu dilakukan secara terancang atau secara elektif ialah apabila si ibu menghadapi masalah kesihatan seperti hipertensi yang dicetuskan oleh kehamilan; si ibu merupakan pesakit HIV positif; si ibu menghidap jangkitan herpes vagina; si ibu mempunyai tumor yang menghalang saluran kelahiran atau pernah menjalani pembedahan uterus yang melibatkan insisi vertikel. Pembedahan Caeserean elektif juga dilakukan apabila plasenta bercantum di atas serviks dan seterusnya menghalang saluran kelahiran.; apabila bayi terlalu besar untuk melalui pelvis; atau apabila bayi berada dalam kedudukan yang sulit di dalam rahim. Sementara itu pembedahan Caesarean kecemasan dilakukan apabila si ibu atau bayi mengalami masalah kesihatan yang serius dan kelahiran perlu disegerakan untuk menjamin keselamatan kedua-dua ibu dan bayi.

Bayi yang dilahirkan melalui vagina ditolak keluar menerusi saluran kelahiran manakala bayi yang dilahirkan melelui pembedahan Caesarean dikeluarkan daripada rahim. Oleh sebab bayi yang dilahirkan melalui vagina bersusah payah keluar menerusi saluran kelahiran, maka ia mungkin "dihadiahkan" oleh alam semulajadi dengan keupayaan untuk membina mikroflora usus (atau populasi bakteria usus) normal pada masa yang lebih awal berbanding dengan bayi yang dilahirkan melalui pembedahan Caesarean.

Bayi yang dilahirkan dengan usus yang steril yang cepat terdedah kepada bakteria. Bayi yang dilahirkan melelui vagina menelan flora vagina dan flora feses ibunya. Flora tersebut akan membina koloni di dalam ususnya dan membentuk mikroflora usus.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa kolonisasi usus dalam kalangan bayi yang dilahirkan melalui pembedahan Caesarean adalah terlewat. Justeru mereka tidak menerima rangsangan sistem imun semasa mereka berada dalam keadaan paling lemah dalam hidup mereka. Mikroflora usus mereka juga kekurangan Bifidobakteria dan pembangunannya mungkin akan terus dilambatkan selama enam bulan selepas kelahiran. Oleh sebab bayi yang dilahirkan melalui pembedahan Caesarean ini tidak keluar menerusi saluran kelahiran, ia tidak menerima bakteria baik daripada ibunya. Sebaliknya persekitaran seperti hospital di mana ia dilahirkan, memainkan peranan yang lebih penting dalam membekalkan sumber bakteria awal.

Selain bertindak sebagai makanan berkhasiat untuk bayi, susu ibu jugamengandungi bakteria bermanfaat, terutama sekali Bifidobakteria, yang merupakan 99 peratus daripada jumlah kiraan bakteria yang terdapat di dalam usus bayi yang meminum susu ibu sepenuhnya.

Untuk memastikan yang Bifidobakteria berupaya berkembang sepenuhnya dalam usus bayi, alam semulajadi telah menambahkan khasiat bifidogenik ke dalam susu ibu. Khasiat yang istimewa ini dapat membantu dalam pertumbuhan Bifidobakteria.

Kelahiran melalui pembedahan Caesarean tidak perlu dianggap sebagai halangan untuk memberi susu ibu melainkan jika ibu atau bayi itu sendiri menghadapi komplikasi. Malahan, susu ibu mungkin merupakan doa awal bakteria baik untuk bayi yang tidak menerimanya ketika ia dilahirkan. Walau bagaimanapun, ibu yang telah menjalani pembedahan Caesarean harus mencari kedudukan yang selesa dan yang meminimumkan tekanan di bahagian insisi. Bantal atau selimut yang dilipat boleh digunakan untuk melindungi parut dan menampung berat badan bayi semasa penyusuan bayi.

Cara bayi dilahirkan nyata ,meninggalkan kesan yang berbeza terhadap sistem imunnya. Berikan permulaan yang baik kepad bayi Caesarean dengan meningkatkan bilangan Bfidobakteria mereka!

Wednesday, March 3, 2010

9 Tip atasi keluh kesah penghujung kehamilan

Biar pun masalah yang dihadapi, janganlah jadikan keluh-kesah yang dilalui sepanjang minggu-minggu terakhir ini sehingga boleh menjadi punca anda panik. Sebaik-baiknya kita bertenang. Untuk itu, tarik nafas sepanjang yang boleh sambil itu buat kiraan sati hingga 10. Kemudian praktikkan kesemua atau mana-mana panduan yang tertera mengikut kemampuan diri sendiri.

1. RUJUK DOKTOR PAKAR
Setiap wanita yang pernah melahirkan kelihatan seperti pakar bila ditanya tentang keadaan-keadaan tertentu yang dialami sewaktu penghujung kehamilan. Namun, kadang kala maklumat yang disampaikan hanya berlandaskan pengalaman dan bukannya fakta yang benar-benar dapat membantu anda melalui saat-saat ini dengan tenang dan berkesan.

Oleh kerana itulah, anda disaran untuk mendapatkan pendapat daripada orang-orang yang lebih berpengalaman tentang masalah kehamilan. Orang yang dimaksudkan tentulah doktor pakar! Ketika bertemu dengan doktor pakar pilihan, kemukakan permasalahan yang anda hadapi dan dapatkan penjelasan lanjut daripada beliau. Dengan yang demikian, sudah tentu ia sedikit sebanyak dapat membantu anda menjadi lebih tenang sebelum mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum mmenempuh proses kelahiran.

2. TAMBAH PENGETAHUAN

Apa saja yang anda lakukan dalam kehidupan ini sebaik-baiknya diiringi dengan ilmu. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang penuh di dada, anda dapat mengatasi apa jua masalah yang timbul dalam keadaan tenang. Jadi, luangkan masa terluang dengan membaca bahan bacaan yang banyak terdapat di pasaran. Demikian juga halnya dengan artikel-artikel di dalam "website".

3. BANYAKKAN BERJALAN

Aktivit ini sememangnya baik untuk bakal-bakal ibu. Lebih daripada itu, senaman khusus untuk ibu hamil yang diamalkan sejak dari awal kehamilan dapat mengurangkan apa jua komplikasi yang mungkin timbul di penghujung kehamilan.

Untuk pengetahuan tambahan, graviti sewaktu anda berada dalam keadaan berdiri dapat membantu menggalakkan bayi meloloskan dirinya ke dalam saluran serviks. Berjalan juga merupakan kaedah berguna dalam "memaksa" bayi mencetuskan kontraksi semulajadi.

4. DUDUK MENCANGKUNG

Sama seperti memperbanyakkan berjalan, anda boleh juga mencuba ubtuk duduk mencangkung. Lakukannya dengan berada dalam posisi berdiri tegak terlebih dahulu dan kemudiannya posisi mencangkung. Perubahan posisi ini dapat menggalakkan kepala bayi untuk memasuki ke saluran peranakan. Sebaik-baiknya lakukan amalan ini sambil diiringi dengan alunan muzik lembut agar anda melakukannya dalam keadaan yang tenang. Walau apa pun, dinasihatkan agar anda melakukannya secara perlahan-lahan.

5. PELAJARI TEKNIK PERNAFASAN

Teknik sebegini dapat anda pelajari melalui kelas antenatal yang kebanyakannya dianjurka oleh pihak hospital. Percayalah! Teknik pernafasan yang betul dapat membuahkan hasil yang positif. Anda bukan sahaja berupaya menjadi lebih tenang, malah masalah yang dihadapi juga dapat diredakan. Namun, sekiranya anda sudah kesuntukan masa untuk meghadiri mana-mana kelas antenatal memandangkan tarikh jangkaan bersalin yang kian hampir, anda boleh belajar dan praktikkannya melalui video yang terdapat di laman web berkaitan kehamilan dan kelahiran.

6. HUBUNGAN ASMARA

Dengan melakukan hubungan intim di akhir kehamilan, anda dapat merangsang prostaglandin yang terkandung di dalam air mani suami untuk mencetuskan kontraksi. Malah kandungan prostaglandin turut membantu servik untuk menjadi lembut dan bersiap sedia untuk proses bersalin.

Sekiranya pada masa yang sama, anda mengalami orgasma, ia lebih baik kerana secara tidak langsung hormon oksitoksin menggalakkan rahim untuk terus megalami kontraksi. yakinlah, hubungan asmara ketika ini adalah selamat asalkan ketuban tidak pecah atau anda mengalami komplikasi uri di bawah ataupun pendarahan.

7. MAKANAN PEDAS

Tentu anda pernah mendengar pendapat ysng menyatakan makanan pedas dapat menimbulkan rasa sakit bersalin. Benar! Amalan merangsang perut dan usus menggunakan makanan pedas dapat mempercepatkan rasa sakit bersalin. Namun , bersederhanalah. Jangan terlampau pedas pula. Dikhuatiri ia akan menyebabkan perut meragam yang akhirnya membuatkan anda mengalami masalah cirit-birit. Malah, mungkin juga ada yang tidak tahan sehingga menimbulkan komplikasi lain seperti pedih ulu hati dan sebagainya.

8. RANGSANG PUTING PAYU DARA

Umum mengetahui bahawa oksitoksin merupakan hormon yang dapat membantu anda mencetuskan kontraksi. Jadi, ada pendapat yang menyatakan bahawa dengan memicit atau mengurutv puting payu dara, ia sedikit sebanyak dapat membantu. Oleh yang demikian, anda boleh praktikkan panduan ini setiap kali ketika mandi. Ada juga pandangan yang mencadangkan agar ia dilakukan setiap satu jam. Bukan sahaja bahagian puting perlu dipicit atau diurut, malah anda perlu melakukan hal yang sama di bahagian aerola. Lakukannya beberapa minit bagi setiap sebelah payu dara.

9. NIKMATI SECAWAN TEH

Theanine yang terkandung di dalam teh dipercayai dapat membantu mempercepatkan bukaan serviks. Lebih sedap rasanya, jika teh yang diminum mengandungi peras-perasa yang lain. Contohnya seperti teh hijau, jasmin, raspberi dan sebagainya. Namun, jangalah terlebih minum pula. Apa-apa pun bersederhanalah. Cukuplah secawan teh sehari.

Persediaan sebelum kembali bekerja (Langkah Kedua)

Sebaik bayi lahir, pastikan anda dan bayi mahir dalam proses penyusuan. Biasanya, anda berdua mengambil masa 2 hingga 3 minggu untuk benar-benar mahir dan saling mengenali. Selepas itu, barulah anda boleh mencuba untuk memerah susu untuk tujuan penyimpanan.

Kebanyakan daripada anda tidak dapat memerah dalam kuantiti yang banyak apabila pertama kali berbuat demikian. Lakukannya berulang kali, barulah anda lebih yakin dan hasilnya bertambah baik. Anda boleh memilih sama ada memerah susu menggunakan tangan atau pam. Pilihan harus dibuat berdasarkan keselesaan, praktikaliti dan kelangsungan pilihan tersebut.

Jika anda memilih untuk menggunakan pam, pastikan alat tersebut tidak menyakitkan payu dara. Jika berpeluang, cuba dahulu pam tersebut sebelum membelinya agar tidak kecewa dengan keupayaan peralatan yang dipilih.

Kesemua peraalatan pam perlu dijaga kebersihannya setiap masa. Pastikan anda membaca arahan pengguna sebelum menggunakannya. Setelah susu berjaya dikumpulkan, simpan di dalam bekas yang bersih dan ditutup rapat. Susu ibu yang disimpan di dalam tempat sejuk boleh bertahan dalam tempoh yang lama. Tempoh ini berbeza-beza mengikut jenis peti ais dan tahap kesejukannya. Lebih sejuk peti ais itu, lebih lama susu boleh bertahan.

Lebih kurang 2 minggu sebelum kembali bekerja, perkenalkan rutin baru kepada bayi dengan berpisah seketika dengannya. Mulakan dengan tempoh waktu yang singkat seperti 2 atau 3 jam selama 3 hari pertama. Pada waktu ini, minta bakal penjaganya untuk berlatih mengenali bayi dan memberi susu perahan jika bayi lapar.

Seterusnya, untuk 3 hari berikutnya tinggalkan bayi untuk tempoh yang lebih panjang seperti 5 ke 6 jam. Seterusnya tingkatkan latihan penyesuaian ini kepada tempoh yang lebih lama sehingga setara dengan waktu anda keluar bekerja. Semasa bayi di bawah jagaan orang lain, anda perlu memerah susu dari masa ke semasa.

Pesediaan sebelum kembali bekerja (Langkah Pertama)

Persediaan boleh dilakukan seawal sebelum cuti bersalin iaitu semasa and masih lagi bekerja. Ambil peluang ini untuk berbincang dengan majikan tentang situasi selepas anda kembali bekerja dan sokongan yang diperlukan. Rapati rakan-rakan di pejabat yang sememangnya menyusukan bayi dan timba pengalaman mereka.

Antara sokongan yang boleh dibincangkan dengan majikan:

Waktu rehat untuk memerah susu atau keluar untuk menyusukan anak. Apabli berpeluang menggunakan kaedah yang selesa, anda tidak mengambil masa yang panjang untuk memerah susu. Ingat, anda keluar bukan untuk bersantai tetapi untuk menyempurnakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai ibu.

Kemudahan untuk memerah dan menyimpan susu. Bilik yang bersih dan selesa serta di lengkapi kemudahan membersihkan tangan dan peralatan pemerah susu adalah ideal. Susu ibu boleh bertahan 3 hingga 5 hari jika disimpan di dalam peti sejuk.

Waktu bekerja yang lebih anjal. Pilihan untuk memanjangkan cuti bersalin, bekerja separuh masa atau bekerja dalam tempoh waktu yang lebih singkat perlu diambilkira dan dipertimbangkan.

Persefahaman sesama rakan sekerja amat penting. Dapatkan pendedahan tentang kebaikan meneruskan penyusuan susu ibu terhadap anda dan bayi dan bagaimana ia mempengaruhi mutu kerja.

Tuesday, March 2, 2010

Penyusuan Awal Bayi

Di hari-hari pertama,bayi akan menyusu buat beberapa waktu yang berbeza. Dia mungkin tertidur semasa melekap payu dara, menghisap perlahan-lahan atau tidak langsung ingin menyusu.

Perhatikan tanda-tanda awal bayi lapar seperti mulutnya tercari-cari sesuatu, mula membuka mulut dengan luas apabila tersentuh sesuatau pada bahagian mulutnya, memasukkan tangannya ke dalam mulut, membuat pergerakan mulut seolah-olah menghisap sesuatu atau menggenggam tangan serta mengangkat kaki ke bahagian perut atau dada.

Sehubungan dengan itu, penyususan mengikut permintaan bayi adalah yang paling ideal. Jangan menunggu sehingga bayi menangis untuk memulakan penyusuan. Ini akan membuatnya marah dan sukar untuk melekap dan meneruskan proses penyusuan.

Susu ibu mudah dan cepat dihadam kerana sistem pencernaan bayi dicipta untuk menerima susu manusia. Selepas sepuluh hari, saiz perut bayi sama seperti saiz tangannya yang tergenggam. Bayi mula menyusu dengan kerap, sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali sehari semalam.

Menyusu mengikut keperluan (atas permintaan) membantu menggalakkan dan memantapkan pengeluaran susu. Tidak ramai bayi dalam lingkungan 8 minggu yang tidur lama antara penyusuan. Jika ada pun, ia diganti dengan penyusuan yang kerap.

Bagaimana pun, bagi kebanyakan ibu, menyusukan bayi adalah satu pengalaman baru. Masa penyesuaian perlu bagi setiap pasangan ibu dan bayi. Jangan berputus asa jika semuanya tidak semudah dan selancar yang anda jangkakan.

Menyusukan, bermakna anda perlu banyak berehat di siang hari, sama ada baring semasa menyusukan atau duduk di kerusi yang selesa. Penyusuan santai inipenting kerana ia memberi peluang untuk anda berehat. Gunakan masa menyusu ini untuk bermain dengan bayi. Anda boleh mendengar muzik, menonton TV atau membaca sambil menyusukan.

Dapatkan bantuan jika perlu, semasa mula menyusukan bayi. Berbincanglah dengan keluarga terdekat bagaimana mereka boleh membantu anda mencapai keselesaan sepanjang tempoh penyesuaian diri anda dan bayi.

Panduan Menyusu Bayi Baru Lahir

Secara semula jadi sejurus kelahiran, bayi mempunyai naluri untuk mencari sumber makanan pertamanya (kolostrum) berdasarkan deria baunya. Bau yang dihasilkan oleh payu dara anda sangat mudah dikesan oleh bayi dan seterusnya dia akan berusaha untuk menghisap payu dara buat kali pertama.

Sentuhan kulit ke kulit yang berlaku semasa proses penyusuan susu ibu menggalakkan pengeluaran hormon oksitoksin. Hormon ini mempunyai dus fungsi utama selepas kelahiran.

Pertama:

Ia merangsang pengecutan rahim. Ini dapat mengurangkan pendarahan selepas bersalindan jika penyusuan dilakukan secara berterusan rahim akan kembali normal dengan cepat.

Kedua:

Hormon ini bertanggungjawab melancarkan pengeluaran susu. Lebih cepat hormon ini dihasilkan, lebih cepat anda berupaya mengeluarkan susu untuk dihisap oleh bayi.

Monday, March 1, 2010

5 tip penyusuan susu ibu di depan khalayak

1. YAKIN DIRI

Jangan ragu-ragu untuk melakukan penyusuan depan khalayak. Fikirkan bahawa kita mahu memberikan yang terbaik untuk bayi.

2. FOKUS

Kita harus fokus kepada kebaikan semulajadi susu ibu. Perasaan malu dan tertekan akan memberi kesan kepada kelancaran pengaliran susu ibu.

3. LOKASI


Cari tempat yang tidak terlalu ramai orang untuk melakukan penyusuan. Ketika penyusuan, bayi inginkan suasana yang tenang.

4. PAKAIAN YANG KHUSUS

Sarungkan pakaian penyususan dan gunakan poncho atau kain pendakap ketika menyusukan bayi.

5. BANTUAN

Jika tidak mempunyai kain atau pakaian penyusuan, suami atau pihak ketiga boleh menjadi "dinding" sementara saat penyusuan. Surau atau bilik menukar pakaian adalah alternatif tempat penyusuan ibu.