| Sekolah Cina Hadif & Hanif, SRJKC Tsun Jin |
Semalam Perdana Menteri kita Anwar Ibrahim (PMX) telah mengumumkan bahawa tahun depan, tahun 2026 pendidikan Pra-Sekolah akan bermula pada umur 5 tahun dan yang berumur 6 tahun boleh masuk Tahun 1. Walaupun dasar umur 6 tahun ke Tahun 1 tidak diwajibkan tapi ibu bapa digalakkan untuk masukkan anak ke Darjah 1 pada umur 6 tahun.
Kalau sebelum ni kena berebut dengan budak umur 7 tahun, sekarang berebut dengan budak 6 tahun. Kalau ada peluang mestilah nak rebut awal. Adakah ini yang KPM expect parents akan buat?
Okay, secara jujurnya, sebagai ibu aku tak bersetuju untuk umur 6 tahun masuk Tahun 1 dengan keadaan yang agak kelam kabut. Mengikut kata PMX semua nak "fast track" sebab negara ini mampu menjadi negara yang berjaya, tapi ada beberapa yang perlu diambil kira.
1. Murid ada masalah kesediaan pembelajaran
Ada sesetengah anak yang berumur 6 tahun masih belum menguasai kemahiran asas. Contohnya;-
- Kemahiran Literasi - mengenal huruf, membaca perkataan mudah dan tulis nama sendiri.
- Kemahiran Numerasi - pula ialah kemahiran yang boleh memahami konsep nombor dan pengiraan asas.
- Fokus dan tumpuan - yang mana anak yang umur 6 tahun ini kurang mampu memberi tumpuan dalam tempoh yang lama.
- Koordinasi motor halus - adakah murid umur 6 tahun ini mengalami kesukaran untuk menulis menggunting dan melukis.
Macam anak aku Hadif, dulu masa umur 6 tahun dia masih lagi tak pandai bercakap. Ada anak yang sebaya Hadif boleh bercakap dan membaca dengan baik. Masuk Tahun 1 barulah lancar sedikit.
2. Masalah perkembangan emosi dan sosial
Murid usia enam tahun ada yang belum matang secara emosi selalu menangis dan rindu rumah bila berdepan environment baharu di sekolah, mereka sukar berinteraksi dengan rakan sebaya kerana kemahiran sosialnya masih terhad, dan rasa terasing.Macam anak aku Hadif (hahaha hadif lagi), dua tahun Tadika, dua tahun itulah dia menangis setiap hari pergi tadika. Kawalan emosi agak lemah buatkan dia cepat frust, marah atau gelisah jika tugasan tidak dapat diselesaikan pada kadar yang lebih pantas. Lepas tu, dalam kelas dia agak pendiam sebab takut nak buat silap. Takut kena marah.
Masa masuk Darjah 1. Ya Allah setiap hari aku kena pergi skolah dia setiap waktu rehat semata-mata nak bagi dia makan. Dia kata "rindu mama". Sampailah suatu hari Guru Besar dia datang approach aku tanya Hadif tak pandai makan sendiri ke hahaha. Hadif betul-betul okay masa dia dah masuk Darjah 3 walaupun semangat nak bangun pagi tu luntur semanjang huhu.
3. Tekanan akademik
Bila kerja rumah bertimbun, ujian bulanan, dan pembelajaran formal enam jam sehari memang akan memakan ruang main dan rehat budak. Jadual waktu sekolah yang ketat, kena ikut masa yang ditetapkan. Kena buat commitment untuk mereka duduk, mendengar dan menulis dalam tempoh yang lama. Sedangkan daya tumpuan murid enam tahun hanya sekitar 10–15 minit.Lepas itu, tahap penguasaan yang berbeza dalam kelas membuatkan yang belum bersedia mudah ketinggalan. Bila melihat kawan lebih matang menulis pantas dan menjawab soalan dengan yakin, tapi mereka sendiri masih bergelut dengan huruf dan nombor asas, lalu mula rasa tertekan dan putus asa. Dan buatkan mereka malas nak ke sekolah. Ini melalui pengalaman anak aku sendiri.
4. Masalah dari segi fizikal
Murid berusia enam tahun belum cukup cergas untuk buat aktiviti sepanjang hari di sekolah. Dorang cepat letih dan lesu selepas beberapa sesi pembelajaran. Sukat nak kuasai kemahiran asas dalam sukan atau permainan. Nak uruskan diri pun tak beberapa pandai, ramai yang belum mahir ke tandas sendiri, membersihkan diri atau makan secara berdikari. Aku pun pernah lalui perkara yang sama walaupun Hadif masa tu umur 7 tahun. Kena ajar dia macam mana cara nak buka tali pinggang, cara nak buang air etc. Rasa pelik tapi itulah realiti.
5. Masalah sosial
Beza umur setahun dalam kelas menyebabkan murid enam tahun kelihatan lebih kecil dan kurang matang berbanding kawan-kawan yang berusia tujuh tahun, sekali gus jurang fizikal dan kognitif tu jelas. Kecenderungan untuk diketepikan selalu berlaku apabila guru bahagikan kumpulan projek atau pasukan sukan kerana mereka dianggap “lambat” atau “tidak cukup kuat”, dan tidak dimasukkan dalam aktiviti berkumpulan. Akibatnya, mereka sukar membina persahabatan dengan rakan yang lebih tua, hidup dalam lingkaran sosial sempit dan mudah berasa terasing di kelas Tahun Satu. Yang paling aku risau kes buli. Sedangkan umur sebaya pun ada kes buli. Apetah lagi berbeza umur.6. Risiko jangka panjang
Kalau anak umur enam tahun terus masuk Tahun Satu tanpa sokongan yang mencukupi, akan ada risiko terperangkap dalam keciciran akademik yang berpanjangan, seperti, ketinggalan asas membaca dan mengira sejak awal, lalu sukar mengejar semula setiap tahun berikutnya.
Kegagalan berulang itu secara beransur-ansur menghilangkan minat untuk belajar, menjadikan sekolah tempat yang bosan dan menakutkan. Lama-kelamaan, keyakinan diri mereka merosot, membina perasaan rendah diri, pesimis terhadap kemampuan sendiri, mula malas belajar dan membuka laluan kepada pelbagai masalah emosi yang boleh menjejaskan keseluruhan pembangunan hidup anak-anak.
7. Masalah FOMO (Fear of Missing Out)
Di atas kertas memang dikata "sukarela", tapi kita tahu, realiti dalam Malaysia ni "sukarela" boleh jadi "paksa rela". Ini sebab orang Malaysia ni ada FOMO, (Fear of Missing Out). Asal ada je benda-benda baru macam ni semua akan sibuk walaupun anak tu belum bersedia lagi. Tak payah jauh, nak book makan di Rembayung pun berebut hahaha. Syukurlah, tak perlu beratur. Kalau tidak setiap hari panjang laa "Q" kat Rembayung tu.
Dari sudut ekonomi, parents sah sah mahu hantar awal sebab percuma. Tidak perlu bayar yuran beribu-ribu setahun. Boleh jimat.
Kita kena lihat kembali adakah sekolah sudah bersedia? Bangunan sekolah bertambah atau tidak? Kelas bagaimana? Ada penambahan? Cikgu pula, adakah mereka bersedia. Adakah jumlah cikgu mencukupi? Berapa nisbah murid satu kelas dengan cikgu yang mengajar? Bagaimana nak fokus individu? Budak-budak akan jadi stress, guru akan stress dan burnout sebab terlalu letih.
Sekolah Rendah anak-anak aku, baru naik satu bangunan baharu beberapa tahun lepas. Itu pun hasil dari sumbangan ibu bapa dan tauke-tauke businessman. Sekolah Cina kan.
Nak ikut sangat negara-negara lain. Boleh.
Murid umur 5 tahun masuk tadika dan belajar 15 jam seminggu. Ada yang pergi tadika 3 kali seminggu.
Murid umur 11 tahun hingga 16 tahun belajar 25 jam seminggu.
Murid umur 17 tahun hingga 18 tahun waktu belajar fleksibel mengikut pengetua dan keperluan murid.
Sekolah diluar negara mempunyai saiz yang lebih kecil. Sekitar 100 - 200 murid. Tapi di Malaysia kalau sekolah tersebut kurang dari 150 murid dikira Sekolah Kurang Murid (SKM). Sekolah pun banyak. Dekat dengan rumah. Ibu bapa nak hantar anak pun cuma berjalan kaki sahaja.
Pelajar akan guna beg yang sama. Beg sekolah mereka ringan. Tidak perlu bawa buku banyak banyak ke sekolah. Buku akan ditinggalkan dalam kelas. Kalau ada locker pun percuma. Kalau ada kerja rumah barulah bawa balik buku "sekeping" dua.
Nak sangat ikut sekolah luar negara boleh, pelajar tak perlu bawa duit ke sekolah. Sebab sekolah beri makanan percuma dan berkhasiat kepada pelajar. Tiada makanan ringan dijual diluar sekolah. Murid cuma makan makanan berkhasiat yang disediakan oleh sekolah atau bekal yang disediakan oleh ibu bapa. Jadi tidak ada sesiapa yang mengambil kesempatan ke atas murid-murid ni.
Jadi, sebelum menjayakan umur 6 tahun masuk Tahun 1, selesaikan masalah-masalah asas dulu.
No comments:
Post a Comment