Thursday, February 11, 2016

Sambutan Hari Kanser Sedunia WadKK3, Hospital Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur 04.02.2016

Assalamualaikum...
Salam sejahtera...

Minggu lepas 04 Februari 2016 merupakan Hari Kanser sedunia. Jadi pihak HKL-KIDS telah menganjurkan suatu sambutan yang sederhana bagi meraikan anak-anak kanser di WadKK3.

Sebagai badan sokongan bukan kerajaan #projekEpalmerah menyokong penuh usaha murni ini dengan mewakilkan saya untuk datang menyertai majlis ini. Selain dari #projekEpalmerah ada lagi kumpulan lain seperti pelajar-pelajar USIM serta sukarelawan sukarelawati orang perseorangan.

Kek Special dari #projekEpalmerah

Majlis dimulakan dengan ucapan Puan Lin selaku Founder HKL-KIDS dan ucapan ringkas dari Puan Pengerusi HKL-KIDS, Puan Hamidah. Sempat juga saya berjumpa dengan seorang lagi founder HKL-KIDS iaitu Puan Zai yang banyak berurusan dengan kertas kerja untuk HKL-KIDS.  Selepas itu Doktor Pakar pun memberi sepatah dua kata tanda berterima kasih di atas segala usaha yang dilakukan demi untuk menggembirakan anak-anak kanser di situ. Agak menyentuh hati bagi saya bila berada di situ. Hampir mengalirkan air mata apabila mendengar ucapan Puan Lin kepada para doktor dan jururawat yang banyak membantu dan bersabar dengan karenah mereka.

Selepas habis ucapan doktor pakar majlis potong kek dimulakan. Kek dipotong oleh anak-anak yang berada di dalam wad itu juga. Kemudian, barulah kami melawat dari katil ke katil untuk menyerahkan sumbangan makanan seperti KFC, air serta zakat. Semua sumbangan ini merupakan hasil dari usaha HKL-KIDS. Kemudian pelajar-pelajar USIM menghiburkan anak-anak dari bilik ke bilik dengan menyanyikan lagu "Rasa Sayang" dan juga lagu "Alhamdulillah".

Bersama Puan Hamidah (kanan saya) dan Puan Lin (kiri saya)

Ada sesi mengalirkan airmata di mana ibu seorang anak kecil ini menangis apabila pelajar-pelajar USIM ini menyanyikan lagu "Alhamdulillah". Tersedu-sedu si ibu menangis sehingga saya pun mengalirkan air mata. Sebagai seorang ibu saya amat memahami apa perasaan yang dihadapi sekiranya anak-anak kita sakit. Apalagi bagi ibu ini yang terpaksa menerima kenyataan bahawasanya anak-anak beliau menghidap kanser... Ya Allah, hampir 3 jam saya berada di sana tidak sesaat pun saya tidak berasa sebak.

Mereka merupakan anak kecil yang diuji dengan ujian yang maha hebat. Hanya mereka yang tahu bagaimana menanggung segala sakit perit dan ubat-ubatan yang banyak. Ada senyum yang terukir di bibir mereka membuatkan lidah saya kelu untuk bertanya dan bermesra dengan anak-anak di situ. Puan Zai berkata "setiap yang hidup memang akan mati, akan tetapi bagi kami yang ada anak-anak kanser kami tiada pilihan selain dari meghadapinya, kami dah biasa, anak sakit kami jagalah dengan sepenuh hati... Bila sakit dah sampai nak sentuh pun tak boleh sehinggakan sampai suatu masa anak saya menolak untuk makan ubat.. Bila dia tak makan ubat nanti sakit dia datang balik..."

Saya tatap wajah ibu bapa anak-anak kanser di WadKK3 satu persatu. Saya cuba menyelami apa perasaan mereka. Apa harapan mereka? Ternyata mereka sudah redha... mereka lagi kuat dan tabah dari saya. Allahu... Mahu menulis lebih panjang pun tidak mampu...

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul...

p/s Seandainya anda berminat menjadi volunteer HKL-KIDS boleh lawat laman Facebook mereka Kumpulan Ibu Bapa Dan Sokongan Anak-Anak Kanser KK3 HKL - HKL Kids. Setiap aktiviti mengenai HKL-KIDS dimuat naik ke dalam Page KIBDSAAK KK3 HKL ini...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...