Wednesday, May 16, 2012

JasaMu Sentiasa Dikenang


Entri ini khas ditujukan kepada cikgu-cikgu satu Malaysia. Rindu zaman sekolah dulu. Kena marah, kena denda dan macam-macam lagi. Tapi sekarang itulah kenangan paling manis sekali untuk dikenang. Tanpa cikgu siapalah saya. Saya takkan kenal huruf dan nombor-nombor. Cikgulah yang membentuk saya pada hari ini. Hanya Tuhan saja yang mampu membalas budi dan pengorbanan cikgu selama ini.

"Selamat Hari Guru, Jasamu sentiasa dikenang"

Friday, May 4, 2012

Mengawal pemakanan untuk tiga penyakit utama

7.5 juta penduduk Malaysia berisiko menghidap penyakit jantung dan 2.1 juta pula disahkan mengalami penyakit kencing manis. Sekiranya kita tidak masuk dalam perangkaan ini bagaimanakah penerimaan kita? Adakah kita akan berasa biasa, simpati atau takut? Pada kebiasaannya kita tak akan rasa apa-apa tapi sekiranya orang terdekat atau yang paling rapat dengan kita yang kena seharusnya kita berasa risau untuk diri sendiri.

Makanan bagus untuk elak kencing manis
Makanan manis seperti kek, roti serta kuih-muih diambil pada kadar minima. Menjaga pemakanan dengan pengambilan nasi yang sedikit juga amat penting. Makanan yang mengandungi indeks glisemik tinggi memerlukan lebih banyak insulin, sedangkan penyakit kencing manis tidak mampu menghasilkan insulin yang mencukupi bagi menggunakan glukos berkenaan. Akibatnya paras gula dalam darah meningkat (hiperglisemia) dan ini akan hanya mendatangkan komplikasi kepada pesakit.

Makanan bagus untuk pesakit jantung
Paling utama kenalpasti kaedah masakan kita. Daripada menggoreng bertukarlah kepada kaedah masakan alternatif seperti membakar atau mengukus sahaja. Cara ini boleh mengelakkan pengambilan makanan berminyak. Pilihlah makanan rendah kalori dan kolestrol yang akhirnya menjadi punca utama menghidap masalah jantung. Pilihlah bijirin yang menyihatkan serta sayur dan buah-buahan segar.

Setiap kali menyediakan makanan, kurangkanlah penggunaan santan atau minyak kelapa yang banyak. Ketika proses penyediaan, elakkan daging dengan kulitnya. Kulit ayam merupakan takungan minyak yang padu. Selain itu hadkanlah pengambilan marjerin, mentega, minyak salad, krim dan mayonis.

Makanan bagus untuk peskit darah tinggi
Natrium memainkan peranan penting untuk tubuh berfungsi dengan sempurna. Namun natrium hanya diperlukan untuk jumlah yang sedikit sahaja. Pengambilan natrium yang berlebihan hanya akan membuatkan risiko terkena tekanan darah tinggi. Natrium terdapat banyak dalam makanan asli bagaimanapun jumlahnya lebih besar di dalam makanan segera. Kerana itulah makanan di restoran segera tidak baik untuk diamalkan. Bagi mencegah atau merawat tekanan darah tinggi ini sebaik-baiknya pilihlah buah-buahan, sayur-sayuran dan daging segar sahaja. Cubalah menggantikan lebihan garam ini dengan rempah ratus dan juga herba yang lebih menyihatkan. Belajarlah menikmati makanan itu tanpa garam. Hadkanlah pemgambilan makanan yang terlalu masin ataupun penggunaan kicap dan soso tiram yang membantu menaikkan rasa. Perencah makanan ini sudahpun mengandungi garam yang tinggi.


Thursday, May 3, 2012

Pentingnya Vitamin kepada tubuh

Vitamin bertindak membekalkan keperluan kepada setiap pertumbuhan dan perkembangan fungsi anggota tubuh disamping mengekalkan tubuh badan yang sihat. Vitamin-vitamin seperti tiamin, niasin dan riboflavin dan sebagainya saling bertindak untuk memberi fungsi kepada setiap anggota tubuh. Pengkelasan di bawah ini memberi lebih kefahaman kepada anda setiap fungsi vitamin dan sumber makanan yang sepatutnya diambil.

Vitamin A
Vitamin A diperlukan untuk tumbesaran tulang dan gigi yang kuat bagi kanak-kanak. Paling utama ia baik untuk penglihatan mata yang baik serta mengekalkan struktur gigi yang sihat selain memelihara kulit yang sihat. Malah vitamin A juga mampu mencegah sistem penghadaman, hidung, tekak, paru-paru dan salur kencing dari dijangkiti kuman. Bukan itu sahaja, vitamin A juga mengatur sistem kekebalan (immune system) untuk mencegah dan melawan sebarang jangkitan kuman. Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan lemah daya penglihatan pada waktu malam, rabun malam, kekeringan pada bahagian mata putih serta terjadinya selaput pada mata putih. Malah kekurangan ini juga akan mengakibatkan tubuh lemah serta daya ketahanan terhadap jangkitan kuman makin besar risikonya,

SUMBER: telur, susu, hati dan sayur-sayuran seperti tomato, lobak, bayam dan keledek. Makanan bijirin sarapan pagi seperti oat dan emping jagung juga kaya dengan vitamin A.

Vitamin B1
Vitamin B1 atau Thiamine amat penting untuk pencerakinan dan penggunaan karbohidrat, lemak dan protein. Thiamine membantu memelihara sistem saraf dan otot yang sihat serta fungsi jantung yang normal. Setiap sel badan memerlukan vitamin B1 bagi membentuk fungsi tubuh. Vitamin B1 juga perlu di seiringkan dengan pelbagai Vitamin B lain seperti B2, B3untuk melengkapkan kerja-kerja penyelenggaraan di dalam tubuh. Oleh itu, Vitamin B Komplek atau multivitamin disarankan untuk semua.

SUMBER: Vitamin B1 boleh diperolehi daripada gandum atau hasil gandum, kacang pis, ikan, kacang tanah dan juga daging.

Vitamin D
Vitamin D diperlukan untuk penyerapan dan penggunaan kalsium dan fosforus. Ia juga perlu untuk tumbesaran malah untuk perkembangan tulang dan gigi yang sihat. Vitamin D juga penting untuk mengatur kadar degupan jantung yang sihat serta mencegah otot menjadi lemah. Ia juga penting dalam pencegahan dan rawatan kanser kolon. , osteoarthritis, osteoporosis dan hypocalcemia serta meningkatkan imuniti. Kekurangan vitamin ini akan membuatkan tubuh lebih terdedah kepada kecacatan tulang terutamanya tulang belakang serta ketidakupayaan tulang untuk berfungsi dengan lebih baik.

SUMBER: Vitamin D boleh diperolehi daripada minyak hati ikan, ikan air masin, hasil tenusu dan juga telur. Ia juga didapati daripada mentega, minyak ikan kod, putih telur, hati, susu, oat, ikan salmon, sardin, ubi kentang, tuna dan minyak sayuran.


Vitamin E
Merupakan antioksidan yang baik untuk mengekalkan kesihatan kulit serta menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat. Malah sifatnya yang antioksidan juga membolehkan pencegahan kanser dan penyakit kardiovaskular lain. Vitamin E juga mengawal tekanan dan peredaran darah dengan baik disamping memelihara pembekuan darah yang normal serta mengurangkan berlakunya tekanan pada darah. Bagi lelaki, Vitamin E juga dapat membantu meningkatkan pngeluaran air mani yang sihat serta mengurangkan risiko kanser prostat. Kekurangan Vitamin E akan membuatkan risiko anaemia menjadi semakin tinggi.

SUMBER: Minyak sayuran, sayuran berdaun hijau, bijirin, kacang, biji-bijian, beras perang, susu, oat, kacang soya, ubi kentang serta makanan berasaskan jagung.

Vitamin K
Diperlukan untuk pengeluaran prothrombin bertujuan untuk pembekuan darah serta mencegah terjadinya pereputan tulang dan osteoporosis. Vitamin K memainkan peranan penting di dalam salur usus dan membantu menukarkan glukos dan glikogen untuk disimpan dalam hati. Terdapa tiga bentuk Vitamin K iaitu vitamin K1 (phylloquinone atau phytonactone), vitamin K2 (dibuat oleh bakteria usus) dan juga vitamin K3 (menadione) yang merupakan bahan sintetik. Kekurangan Vitamin K boleh menyebabkan daya pembekuan darah yang boleh menyebabkan pendarahan gusi, hidung, usus dan salur kencing.

SUMBER: sayur-sayuran antaranya ialah asparagus, kobis, putih telur, tauge, kacang soya, gandum dan yogurt.