Monday, February 2, 2026

Sinopsis Jurassic World Rebirth (2025)


JURASSIC WORLD REBIRTH (2025) 
Rating: 8/10 
Genre: Action / Sci-Fi
Pelakon: Scarlett Johanson, Jonathan Bailey, Mahershala Ali, Luna Blaise, Rupert Friend

Dah lama aku tak review movie. Sebab sekarang aku dah kurang sangat layan filem. Sejak sesi memboikot aku memang dah tak masuk panggung wayang. Aku banyak layan drama bersiri dan short drama hahaha. Memang banyak aku nak tulis, tapi faham-faham la kan kalau dah terjebak dengan short drama ni memang habis. Racun short drama ni teruk sangat walaupun jalan ceritanya entah hape-hape. Tapi, disebabkan aku ada niat baik tahun ni aku akan cuba tulis juga sinopsis filem yang aku suka. Mana-mana filem aku akan tonton di Android Box atau online sahaja. 

Okay, sambung. Filem Jurassic Rebirth ni aku baru tonton semalam. 😅

Distortus Rex

Jurassic World: Rebirth ini adalah filem keempat dalam franchise Jurassic World dan sambungan kepada Jurassic World: Dominion (2022)

Selepas lima tahun peristiwa Jurassic Dominion, kebanyakan dinosour yang pernah bebas di muka bumi telah pupus disebabkan oleh perubahan iklim yang melampau dan dan tidak sesuai dengan kehidupan mereka. 

Jadi, dalam dunia baru di dalam Jurassic Rebirth, manusia telah sesuaikan diri untuk mendamping dinosour yang masih hidup. Tapi kebanyakan spesis dinosour telah pupus. 


Ada satu pulau tropika bernama Ile Saint - Hubert, yang mana ia merupakan salah satu tempat penyelidikan rahsia InGen (syarikat yang gagal mencipta Taman Jurassic Park yang dulu) di mana Taman Jurassic Park tersebut masih menjadi habitat kepada tiga spesis dinosour gergasi yang hidup secara semula jadi. 

Antara tiga spesis dionosour itu ialah:
1. Mosasaurus - reptilia laut raksasa
2. Titanosaurus - sauropod berleher panjang
3. Quetzalcoatlus - pterosaur terbang

Nak dijadikan cerita, ketiga-tiga dinosaur ini mengandungi DNA yang unik yang boleh hasilkan ubat ajaib (wonder drug) untuk menyelamatkan manusia. Sebuah syarikat farmaseutikal besar diwakili oleh Martin Krebs (Rupert Friend) mengupah pasukan elit untuk menjalankan misi rahsia ke pulau Ile Saint - Hubert untuk (mengumpul sampel darah) dari ketiga-tiga spesis dinosaur diatas.


Dalam pasukan elit ini ada Zora Bennett (Scarlet Johansson) yang merupakan bekan agen operasi sulit. Zora dibantu oleh Duncan Kincaid (Mahershala Ali), kawan baik yang setia yang juga pakar operasi taktikal, Dr. Henry Loomis (Jonathan Bailey), seorang ahli paleontologi muda yang menjadi pakar saintifik pasukan serta Leclerc (Philippine Velge) dan Baptiste (Bechir Sylvain) ahli pasukan tambahan. Pasukan elit ini diketuai oleh Martin Krebs.

Dalam perjalanan ke pulau Ile Saint - Hubert, team Zora secara tidak sengaja telah bertembung dengan Keluarga Delgado dimana kapal mereka karam diserang oleh Mosasaurus. Bila bot mereka karam, Reuben Delgado membuat panggilan kecemasan untuk minta diselamatkan. Martin mahu meneruskan mereka punya misi tetapi ahli pasukan lain termasuk Duncan Kinkaid buat keputusan untuk berpatah balik selamatkan keluarga Delgado dahulu barulah sambung perjalanan mereka ke pulau Ile Saint - Hubert.

Mosasaurus muncul semula dan pasukan Zora berjaya mendapatkan sampel spesimen dari Mosasaurus dengan menggunakan pistol dart yang telah diubah suai.

Tetapi selepas beberapa ketika, sekumpulan Spinosaurus muncul bersama dengan Mosasurus dan menyerang kapal mereka menyebabkan Bobby terbunuh. Spinosaurus adalah spesis dinosaur pembunuh berkuku tajam yang agresif.

Dalam kekalutan untuk menyelamatkan kapal serta kru dari diserang, Teresa cuba menggunakan radio untuk mendapatkan bantuan tetapi dihalang oleh Martin. Pada masa yang sama bot mereka hampir terbalik. Teresa hampir terjatuh ke laut semasa bergelut dengan Martin. Teresa meminta supaya Martin selamatkan dia, tetapi Martin buat bodoh je sehingga Teresa jatuh ke dalam laut. 

Xavier (boyfriend kepada Teresa) melompat masuk ke laut untuk menyelamatkan Teresa. Reuben dan Isabella (adik Teresa) pun terjun sekali. Jadinya, mereka dah terpisah dengan Pasukan Zora. 

Kapal yang dinaiki terkandas ditepi pantai pulau Ile Saint - Hubert. Dah terkandas di tepi pantai, Nina pula dibunuh oleh Spinosaurus. Mereka terpaksa meneruskan perjalanan untuk mendapatkan DNA dari dua spesis lagi kerana mereka cuma ada masa 24 jam sahaja sebelum helikopter penyelamat datang untuk menyelamatkan mereka.

Mereka dapat sampel Titanosaurus dengan mudah sebab Titanosaurus ini adalah dinosaur yang jinak.

Untuk Quetzalcoatlus, Dr. Henry memutuskan adalah lebih selamat kalau ambil spesimen Quetzalcoatlus daripada telur. Jadi, Zora, Henry dan Lecrec terpaksa menuruni tebing ke sarang di dalam kuil gua purba. Tiba-tiba Quetzalcoatlus datang dan serang Zora, Henry dan LeClerc. LeClerc dibunuh dan dimakan oleh Quetzalcoatlus.

Keluarga Delgado

Keluarga Delgado pula, berusaha untuk mencari kampung penempatan manusia dengan harapan dapat jumpa radio untuk mohon pertolongan. Mereka menjumpai pelbagai spesis dinosour termasuk Aquilops yang diberi nama Dolores oleh Isabella dan dijadikan sebagai "pet". Mereka jumpa "inflatable raft", dikejar oleh Tyrannosaurrus dan dihanyutkan oleh air terjun.

Pasukan Zora dan keluarga Delgado bersatu semula di kompleks. Di situ barulah Teresa mengamuk dan bagitahu semua orang yang Martin biarkan dia terjatuh ke dalam laut tanpa berusaha untuk selamatkan dia. Kemudian, mereka diserang oleh dinosaur spesis Mutadon. Helikopter yang sampai dimusnahkan oleh Distortus Rex Martin melarikan diri dengan beg spesimen dinosaur. Mereka juga menemui rahsia gelap tentang eksperimen genetik yang telah dilakukan 10 tahun yang lalu.

Isabella dan Aquilops

Demi menyelamatkan pasukan dan keluarga Delgado, Zora menggunakan kemahiran dan pengalaman ketenteraannya supaya tidak menjadi makanan kepada dinosaur. Martin Kerbs dibunuh dan dimakan oleh Distortus Rex. Beg sampel spesimen diambil oleh Doktor Loomis. Dunca Kinkaid cuba mengalih perhatian dinosaur supaya Zora dapat melepaskan diri dengan menaiki bot keluar dari Pulai Ile Saint - Hubert.

Ingatkan Duncan mati, rupa-rupanya dia masih hidup dan sempat diselamatkan oleh Zora. Dialog terakhir ialah Zora dan Henry buat keputusan untuk mengedarkan sample spesimen yang mereka dapat supaya masyarakat dunia dapat manfaat.

Tapi itulah, Jurassic Rebirth tak ada post-credits atau mid-credits scene. Filem ni memang habis lepas babak-babak terakhir, dah rasa macam pelik hahaha. Harapnya adalah Jurassic World yang seterusnya kan. 

Aku suka jalan cerita ni. Ada juga adegan yang buat kita rasa macam eee, cepat-cepat nanti kau kena bunuh dengan dinosaur. Haah gitu. Boleh dikatakan semua filem Jurassic Park aku suka. Kalau nak kata tak logik memang filem ni tak logik pun. Dah memang Action/SciFi, takkan nak komen macam komen dokumentari. 

Hanif dah isi borang UPU Online

Okay sambung cerita UPU Online,

Lepas dah beli pin untuk UPU Online. Keesokkan harinya, 29 Januari 2026, aku paksa juga Hanif daftar UPU Online terus. Punya kiasu kan hahaha.
Aku cakap daftar awal supaya tak kalut. Nanti kalau kursus yang dia nak tu habis. Manalah tahu kan. Murid yang mendaftar SPM tahun 2025 berjumlah 413, 372 orang. Bayangkan. Memang berebut-rebut la nak masuk belajar melalui UPU. 

Nak masuk swasta boleh tapi sediakan duit. Buat apa nak bayar lebih kalau boleh dapat yuran murah sedikit kan huhu. 

Aku dulu pun dapat offer belajar di UiTM di Melaka (tak ingat cawangan mana) tapi disebabkan parents aku duit tak berapa nak ada. Masa tu kita orang baru berpindah ke Paka, Terengganu, adik beradik aku masa tu masih kecik. Jadi, aku ambil keputusan untuk tak pergi pun.

Kalau boleh tak nak anak-anak aku sambung belajar dengan buat pinjaman PTPTN, jenuh nak bayar hutang nanti. Biarlah setakat mana yang mampu aku cuba usaha untuk bayarkan.  

Hanif suka kulinari. Jadi, pilihan pertama dia ialah Diploma Kulinari, yang kedua Diploma Pastri, kemudian barulah Diploma Perhotelan, Diploma Pengurusan Makanan. Boleh pilih sampai 12 kursus. Enam wajib, lebih dari tu "optional" sahaja. Last sekali aku letak Sijil Kulinari. Kalau dah tak ada sangat, Sijil Kulinari pun jadi. Nanti dah habis boleh sambung secara berperingkat. Cuma kalau boleh dapat kat Politeknik Premier (Politeknik Merlimau & Pasir Gudang) supaya boleh terus sambung ke Diploma Lanjutan lagi bagus.

Tapi aku rasa nak kena tukar sebab kawan aku suggest pilihan pertama sebaiknya letak UiTM. So aku akan tukar balik nanti. 

Kalau dah tak ada pilihan, Hanif kata tak apalah mama. Masuk Tingkatan 6 pun okay. Rasa kesian pula kalau masuk Tingkatan 6, sebab dia minat Kulinari. Ikutkan aku memang hendak dia masuk Tingkatan 6. Tapi aku taknak paksa dia. Nanti jadi macam Brooklyn Beckham pulak hahahaha tiberrr...😂

Bersyukur juga aku, Hanif ada semangat untuk sambung belajar. Sama juga dengan kawan-kawan dia. Aku perhatikan dia komited untuk bekerja tak ada ponteng sesuka hati. Sama macam zaman dia sekolah dulu. Kalau tak sakit teruk dia tetap akan pergi sekolah. 

Pencapaian Januari tahun ni

Cita-cita aku tahun ini nak update entri baru blog setiap hari. 

Dah masuk bulan Februari, aku punya pencapaian mampu menulis 27 entri untuk Januari 2026 hahaha. Itu pun sebab ada sehari tu aku tulis sampai dua atau tiga entri.

Ikutkan banyak je aku boleh tulis. Tapi ada masa aku tak sempat. Ada masa otak aku tepu dan serabut. Ada masa aku ke laut sebab terjebak dengan short drama dan social media.

Semalam aku dah terjebak dengan Jeffry Eipstein punya kes. Lepas tu aku nak kena habiskan module yang aku sedang belajar. Tak termasuk dengan siri berchit chat dengan AI.

Sudahnya, aku mengantuk. Itu je lah kerja aku semalam. Nak hantar buku yang aku dah pinjam ke Perpustakaan Negara pun tak boleh sebab Public Holiday.

Maka berlalulah hari yang tak produktif. 😅